Khamis, 19 Mei 2016

Perniagaan online kurang RM500k tidak kena cukai

FREE MALAYSIA TODAY


PKS tidak perlu mengelak daripada mengembangkan perniagaan masing-masing hanya kerana mahu mengelak dikenakan cukai.


Datuk Hafsah Hashim


KUALA LUMPUR: Pengusaha kecil dan sederhana (PKS) yang menjalankan perniagaan dalam talian dan berpendapatan kurang daripada RM500,000 tidak akan dikenakan cukai.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim berkata, PKS yang berpendapatan lebih daripada RM500,000 akan dikenakan cukai, bagaimanapun ia sewajarnya tidak menjadi halangan kepada mereka yang meraih pendapatan kurang daripada jumlah itu untuk berusaha mengembangkan perniagaan masing-masing.

Banyak perniagaan dalam talian adalah PKS secara sambilan dan usahawan baru.

“Sememangnya ia (cukai) akan memberi kesan kepada mereka yang baru mula berniaga, tetapi mereka perlu faham bahawa cukai akan dikenakan kepada syarikat dengan pendapatan melebihi RM500,000.

“Kalau nilai mereka tidak melebihi jumlah itu, saya percaya mereka perlu rancakkan lagi perniagaan. (Mereka) tidak perlu mengelak daripada berkembang (maju) hanya kerana mahu mengelak dikenakan cukai,” katanya kepada Bernama.

Hafsah berkata, jika perniagaan telah dikenakan cukai, mereka perlu bersedia untuk melaksanakan operasi perniagaan berstruktur dan mengguna pakai pendekatan berhemat.

Pada 17 Mei lepas, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, Kementerian Kewangan sedang mengkaji kemungkinan mengenakan cukai ke atas perniagaan dalam talian pada tahun depan, sejajar kepesatan perkembangan sektor berasaskan Internet di negara ini.

Sementara itu, mengenai isu Britain keluar daripada Kesatuan Eropah, Hafsah berkata PKS yang bersumberkan syarikat negara itu akan terjejas jika perkara itu berlaku.

Bagaimanapun beliau berkata, PKS Malaysia mampu menangani kesan itu secara pantas dan menyesuaikan diri dengan keadaan itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: