Khamis, 12 Mei 2016

Penjaga gol pasukan futsal Kedah parah kemalangan

MALAYSIAKINI




Penjaga gol pasukan futsal Kedah, Muhamad Azri Zakaria mengalami kecederaan parah selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta berhampiran Jalan Perak di Alor Setar semalam.

Muhamad Azri, 27, yang bekerja sebagai pegawai perubatan sedang dalam perjalanan ke pejabatnya di Pejabat Pergigian Daerah Kota Setar dengan menunggang motosikal sebelum dilanggar sebuah kereta kira-kira pukul 8 pagi.

Pengurus Pasukan Futsal Kedah, Nesar Ahmad Khan berkata Muhamad Azri kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan sedang dalam pemantauan rapi oleh doktor.

Katanya, Muhamad Azri yang dimasukkan ke wad ICU pada pukul 3 petang semalam, mengalami kecederaan parah di bahagian muka serta kepala dan perkembangannya sedang dipantau dan jika perlu pembedahan akan dilakukan selepas dia stabil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata pihaknya menerima laporan kejadian yang melibatkan pergeselan antara motosikal ditunggang mangsa dengan sebuah kereta yang belum dikenal pasti.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemandu kereta yang terlibat dan sehingga kini belum ada laporan polis yang dibuat oleh individu yang terlibat dalam kejadian ini," katanya.

Sementara itu, seorang pemain skuad Piala Presiden Pahang cedera selepas van dinaiki bertembung dengan sebuah jentolak di Lebuhraya Shah Alam (Kesas) .awal pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu, van dinaiki oleh 16 pemain dan jurulatih bola sepak skuad berkenaan dalam perjalanan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur DSP S Markandan berkata Muhammad Adam Mohamad Zaki, 19, mengalami kecederaan di bahagian lutut kiri manakala pemain lain tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kenderaan dipandu Mohamad Zahri Othman, 45, hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah jentolak yang dipandu Ghandi Govindaraj, 53.

"Kedua-dua pemandu itu turut mengalami kecederaan masing-masing di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata kesemua mangsa kini dirawat Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.- Bernama


Tiada ulasan: