Khamis, 12 Mei 2016

Pengurus akui deposit tetap NFC faktor bank syorkan pinjaman

Hafiz Yatim  




Seorang pengurus di Public Bank Bhd hari ini memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa deposit tetap RM71.3 juta National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) adalah faktor bagi bank itu meluluskan pinjaman bagi pembelian lapan unit kondominium di projek KL Eco-City.

Chai Ma Fatt, 49, ketika disoal balas oleh peguam Naib Presiden PKR Rafizi Ramli - Razlan Hadri Zulkifli - mengakui bahawa simpanan tetap oleh NFC itu adalah antara yang terbesar diterima oleh cawangan bank itu di Jalan Hang Lekiu antara 2011 dan 2012.

Beliau berkata cawangannya mengesyorkan pinjaman diberikan dan bahawa keputusan untuk kelulusan diberikan oleh ibu pejabat.

Saksi itu bersetuju bahawa Pengerusi NFC Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya yang menjadi pengarah National Meat & Livestock Sdn Bhd dan Agroscience Industries Sdn Bhd yang memegang akaun termasuk deposit tetap dengan bank berkenaan.

Razlan: Adakah kamu tahu apabila permohonan (pinjaman) diluluskan atau tidak?
Chai: Kelulusan diberikan oleh pihak pengurusan lebih tinggi.

Razlan: Adakah kamu dalam pengurusan tertinggi?
Chai: Bukan, saya dalam pengurusan pemasaran.

Razlan: Jumlah deposit tetap itu adalah antara yang terbesar di cawangan anda?
Chai: Betul.

Pegawai bank itu memberi keterangan dalam saman NFC dan pengerusinya terhadap Rafizi dan Mkini Dotcom Sdn Bhd, pengendali portal berita Malaysiakini.

Selasa lalu, Salleh, ketika disoal balas, bersetuju bahawa sejumlah RM86 juta dibekukan oleh kerajaan di tiga bank termasuk Public Bank.

Wang RM71.3 juta itu adalah sebahagian daripada geran yang ditawarkan oleh Kementerian Pertanian kepada syarikat itu untuk melaksanakan Projek National Feedlot.

Chai bersetuju bahawa pinjaman itu diberikan antara Mei 2011 dan Januari 2012.

Tiada ulasan: