Rabu, 18 Mei 2016

Pengarah Imigresen berkuasa halang individu keluar negara - Nur Jazlan

ANTARAPOS.COM


Post Pic



KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Imigresen berkuasa menghalang mana-mana individu yang dikesan menjejaskan nama baik kerajaan daripada pergi ke luar negara, ujar Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Ditemui pemberita, beliau juga memaklumkan kebenaran untuk keluar negara itu merupakan keistimewaan dan bukan hak bagi seseorang inidividu.

Beliau berkata demikian mengulas larangan ke luar negara ke atas Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah untuk ke Korea Selatan, Ahad lalu.

Maria dilaporkan mahu ke Korea untuk menerima anugerah hak asasi manusia, Anugerah Gwangju.

"Kuasa untuk membenarkan orang keluar masuk dalam negara bawah pengarah imigresen dan dia juga yang keluarkan pasport. Ia keistimewaan dan bukan hak," tegas Nurjazlan kepada pemberita di Dewan Rakyat pagi tadi.

"Senarai (dilarang) memang ada. Jadi kalau isu macam (Pengerusi BERSIH) Maria Chin, dia patut periksa dengan Jabatan Imigresen sama ada masih dibenarkan ke luar negara atau tidak," ujarnya lagi.

Jabatan Imigresen menguatkuasakan peraturan larangan itu sejak beberapa bulan lalu dalam usaha melindungi imej negara, sebagaimana disahkan oleh Pengarahnya, Datuk Sakib Kusmi.

Ujar Sakib kerajaan mempunyai budi bicara dalam mengeluarkan, menangguh atau membatalkan pasport seseorang.

Bagaimanapun mana-mana individu yang disekat ke luar negara boleh merayu di mahkamah kerana mempunyai hak untuk melakukan sedemikian.

Selain individu yang memburukkan nama negara, mereka yang muflis, mempunyai kes undang-undang atau belum membayar pinjaman kerajaan adalah antara golongan yang dilarang meninggalkan negara, ujarnya lagi



Tiada ulasan: