Selasa, 24 Mei 2016

Pemimpin PKR membisu soal calon PRK dan krisis dalaman parti

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pimpinan PKR dilihat berdolak-dalih terhadap krisis dalaman dan luaran yang kini membadai parti, termasuk soal pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
Pengarah Pilihan Raya PKR, Nurul Izzah Anwar ketika diajukan bagaimana penyelesaian bagi pertelingkahan PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) dalam isu peletakan calon, bagaimanapun mengelak daripada memberi sebarang reaksi.
 
"Saya akan berada di sini esok dan lusa. Kita akan adakan mesyuarat biro politik malam ini. Saya rasa anda sudah buat banyak liputan tentang isu ini dengan rakan-rakan saya yang lain. Terima kasih," katanya sebelum menambah baru sahaja pulang dari luar negara, baru-baru ini.
 
Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan isu pilihan raya kecil itu sehingga ke hari ini sudah dua kali ditangguhkan.
 
Ia sepatutnya diadakan pada Khamis lalu, kemudian ditunda pada semalam, namun akhirnya ditangguhkan sekali lagi.
 
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada semalam mendakwa ketiadaan respon rasmi dari PAS menjadi punca mesyuarat berkenaan terpaksa ditangguhkan.
 
PAS berpendirian tegas sedari awal untuk meletak calon di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, meskipun menyedari hasrat parti serpihannya, Parti Amanah Negara (PAN) untuk bertanding di dua kerusi itu.
 
Malah PKR juga didakwa 'mengintai' peluang untuk turut sama meletak calon partinya.
 
PKR kini bukan sahaja tersepit dengan perbalahan parti pembangkang berkenaan isu PRK itu, malah ia juga dibebani dengan skandal rasuah membabitkan kerajaan negeri Selangor.
 
Pengarah Politik dan Dasar PKR, Datuk Kamaruddin Jaafar yang ditemui pemberita hari ini enggan mengulas dakwaan Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
 
Kononnya dakwaan rasuah wang dan wanita dalam urusan tertentu pentadbiran kerajaan negeri Selangor membawa perpecahan di kalangan PKR.
 
"Saya berharap kita akan dapat menjelaskan dan memastikan bahawa kita berdiri sebagai satu komponen parti yang tunggal," katanya ringkas.
 
Ahli Parlimen Tumpat itu bagaimanapun tidak melihat polemik yang timbul itu akan memberi kesan kepada pilihan raya kecil kelak.
 
"Apa sedikit yang saya tahu penglibatan pendek saya secara langsung di dalam parti, parti ini telah berjaya meletakkan dan mengumpulkan kekuatan berdasarkan pemerhatian saya semasa pilihan raya sebelum ini, saya cukup yakin bahawa parti akan dapat bersatu dan berlawan di dalam pilihan raya kecil akan datang," ujarnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: