Rabu, 4 Mei 2016

Pemandu Singapura yang diviralkan diminta tampil- Polis Johor

 
Dia yang memandu Mercedes Benz dikatakan telah melarikan diri dari lokasi kejadian, namun berjaya ditahan oleh pemandu lain, selepas Plaza Tol Kempas.


Pemandu Singapura


PETALING JAYA: Tindakan seorang pemandu kenderaan dari Singapura yang menyebabkan beberapa buah kenderaan lain kemalangan, diarah tampil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

Polis Johor berkata demikian selepas tindakan dan tingkah laku biadap pemandu itu memandu secara berbahaya di Plaza Tol Kempas mencetuskan kemarahan netizen selepas rakaman perbuatannya diviralkan.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Johor Supt Baharuddin Mat Taib berkata pihak polis memandang serius perbuatan lelaki itu memandu secara melulu dan membahayakan orang awam.

“Pihak polis ingin menegaskan di sini walaupun tidak terlibat dalam kemalangan namun cara pemanduan yang melulu dan berbahaya adalah kesalahan yang boleh disabitkan di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.

Pemandu itu dikatakan menukar lorong kiri dan kanan secara tiba-tiba tanpa memberi sebarang isyarat sehingga menyebabkan empat buah kereta di belakangnya brek secara mengejut lalu belanggar sesama sendiri.

Dia yang memandu Mercedes Benz dikatakan telah melarikan diri dari lokasi kejadian, namun berjaya ditahan oleh pemandu lain, selepas Plaza Tol Kempas.

Perbuatannya juga dirakam seorang pengguna jalan raya yang kemudian meviralkan gambar pemandu itu di dalam Facebook.

Pengguna itu juga mendakwa pemandu itu tidak takut sekiranya laporan polis dibuat terhadapnya kerana menyifatkan polis Johor baik dengannya.

Baharuddin menegaskan polis tidak pernah berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan lalu lintas.

“Semakan telah dibuat melalui Sistem Cops dan mendapati pemandu berkenaan mempunyai 13 rekod saman yang belum dijelaskan iaitu 12 saman kerana kesalahan memandu laju dan satu lagi kerana memandu di lorong kecemasan,” katanya.

Tiada ulasan: