Selasa, 10 Mei 2016

Peguam Dr M mohon soal Najib berhubung afidavit

MALAYSIAKINI




Peguam Tun Dr Mahathir Mohamad ada hari ini memfailkan permohonan untuk mendapatkan kebenaran menyoal Datuk Seri Najib Razak berhubung fakta-fakta yang bercanggah yang didakwa terdapat dalam afidavit yang dikemukakan oleh perdana menteri itu.

Pada masa sama, peguam juga memohon penangguhan permohonan Najib untuk membatalkan saman RM2.64 bilion yang difailkan oleh Mahathir bersama dengan bekas ahli Umno Langkawi Anina Saadudin dan bekas Naib Ketua Umno Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkaitan dengan isu 1MDB.

Permohonan itu difailkan tengah hari tadi dengan Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Antara lain, peguam berkenaan mendakwa afidavit Najib mengandungi kenyataan yang bercanggah dan tidak konsisten.

Kenyataan-kenyataan yang dipertikaikan termasuk:

*Dalam perenggan ketujuh dan kelapan afidavit itu, Najib berkata beliau memfailkan permohonan untuk membatalkan kedudukannya atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Pengerusi BN dan Presiden Umno dan bukan sebagai seorang penjawat awam kerajaan.

Walau bagaimanapun, peguam berkenaan menegaskan bahawa dalam perenggan 25, Najib mengakui beliau adalah seorang penjawat awam dan mengaku bahawa salah-laku tort misfeasance dan pelanggaran tanggungjawab fidusiari adalah hanya usaha untuk menyingkirkannya dari jawatan awam.

*Dalam perenggan 24 afidavitnya, Najib menafikan dakwaan dalam pernyataan tuntutan bahawa beliau berperanan dalam memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk seri Shafie Apdal daripada menjadi anggota kabinet dan hakikat bahawa empat daripada ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara telah dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri dalam rombakan kabinet Julai lalu.

Justeru, demi kepentingan keadilan dan proses undang-undang, ketiga-tiga plaintif memohon kebenaran untuk Najib dipanggil untuk terus menjawab dan diperiksa balas berhubung kenyataannya yang tidak jelas, tidak tepat dan bercanggah berdasarkan fakta kontemporari.

Plaintif dalam samannya pada 23 Mac lalu, memohon perintah mahkamah untuk mengisytiharkan Najib melakukan tort misfeasans dalam jawatan awam dan tort kemungkiran fidusiari dengan menyalah-gunakan kedudukannya.

Menurut mereka, Najib sebagai perdana menteri, pengerusi BN, presiden Umno dengan niat jahat dan mala fide menghalang, mencampuri, menindas dan menyalah pintas pelbagai siasatan dan inkuiri berhubung skandal 1MDB berserta kemasukan dana dalam anggaran USD700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi banknya.

Mereka juga memohon perisytiharan yang sama di mana Najib menyalah-gunakan kedudukan beliau untuk mengambil tindakan terhadap Anina dan Khairuddin.

Mereka juga menuntut RM2.6 bilion sebagai ganti rugi teladan dan ganti rugi berpanjangan sebanyak RM42 juta.

Tiada ulasan: