Jumaat, 13 Mei 2016

Pegawai pangkat tinggi mungkin terlibat penyeludupan migran - Zahid

Anthea Yap, Astro Awani 
 
Pegawai pangkat tinggi mungkin terlibat penyeludupan migran - Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia hasil intipan polis selama dua bulan berhubung pembabitan beberapa individu dalam sindiket itu.
 

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri tidak menolak kemungkinan pegawai berpangkat tinggi agensi kementerian itu turut terlibat dalam sindiket penyeludupan manusia dan pemalsuan pasport yang dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata siasatan terhadap aktiviti sindiket itu akan diteruskan sehingga kumpulan tersebut dilumpuhkan sepenuhnya dan semua pesalah diheret ke mahkamah.

Beliau berkata, polis telah mengesan beberapa individu yang telah terbabit dengan aktiviti memalsukan pasport.

"Ini merosakkan imej jabatan walaupun orang yang melakukan itu mereka yang berpangkat rendah. Kita tidak mengira bulu dan kita tidak buta warna daripada segi siapa saja yang melakukan penyelewengan.

"Mereka telah merosakkan imej organisasi dan kita tentunya tidak akan berkompromi dengan pesalah-pesalah yang melakukan sebarang kesalahan," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Akrab Kebangsaan kali ke-7 di sini, hari ini.

Menurut beliau, jika didapati bersalah, KDN akan mengheret mereka yang terbabit ke mahkamah bagi tindakan hukuman susulan.

Sebelum ini, polis telah menahan 19 individu termasuk dua pegawai Jabatan Imigresen yang dipercayai terbabit dengan sindiket penyeludupan migran antarabangsa.

Modus operandinya ialah membawa masuk warga Sri Lanka dan memproses penghantaran mereka ke negara yang kebanyakannya ke Switzerland menggunakan pemalsuan pasport Malaysia.
Mereka telah ditahan dalam operasi polis di sekitar Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 April dan 6 Mei lalu.

Tiada ulasan: