Isnin, 23 Mei 2016

PAS tutup pintu, tiada lagi rundingan PRK Sungai Besar - Hadi

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
MELAKA: PAS menegaskan rundingan bersabit agihan kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah selesai.
 
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, PAS tetap akan bertanding di dua kerusi Parlimen itu meskipun terdapat desakan daripada Pakatan Harapan (PH) untuk parti itu tidak berbuat demikian.
 
“Pada mulanya mereka (Pakatan Harapan) minta kita berbincang dalam kerjasama pilihan raya dan kita telah menghantar wakil iaitu Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan Setiausaha Politik Hadi, Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar. Tidak sangka pula ada permintaan di kalangan mereka untuk bertanding juga.
 
"Oleh kerana PAS sudah tiga, empat kali bertanding di situ, ditambah pula kita punya banyak cawangan, ternyata kita berpijak di lapangan dan kita juga ada jentera pilihan raya bahkan kita menganggap kitalah yang berhak bertanding di kawasan terbabit.
 
“Tuntutan daripada pihak lain untuk bertanding tidak wajar. Apatah lagi kita dapat tahu mereka hendak meletakkan calon daripada Pakatan Harapan,” katanya kepada media selepas merasmikan majlis Himpunan Pendidik Islam Peringkat Kebangsaan 4.0 di Melaka semalam.
 
Menurut Hadi, beliau sudah membuat keputusan dan tiada sebarang perundingan lagi boleh dibuat melainkan hal berkaitan kerjasama dalam gerak kerja pilihan raya.
 
Mengenai pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad kononnya pembangkang akan tewas sekiranya meletakkan ramai calon, Abdul Hadi berkata, ia sekadar pandangan peribadi bekas Perdana Menteri itu.
 
"PAS melihat tidak menjadi masalah sama ada bertanding dua penjuru, tiga penjuru atau empat penjuru sekalipun. Kami tetap akan bertanding," katanya.
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memutuskan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan pada 18 Jun depan, sementara penamaan calonnya pula ditetapkan pada 5 Jun ini.
 
PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar terpaksa diadakan selepas kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lepas.
 
 

Tiada ulasan: