Jumaat, 20 Mei 2016

Pas tak takut ugutan PKR, tetap tanding 2 kerusi

MALAYSIA DATELINE
 
 
Pas menyatakan pendirian balas diatas ugutan PKR bahawa Pas tetap bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam PRK 18 Jun ini.Pas menyatakan pendirian balas diatas ugutan PKR bahawa Pas tetap bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam PRK 18 Jun ini.


Pas tidak akan tunduk kepada ugutan daripada mana-mana pihak termasuk PKR kerana keputusan parti itu untuk bertanding dalam dua Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah muktamad.

Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, partinya tidak terkesan dengan ugutan sesetengah pihak dan akan tetap bertanding dalam dua PRK itu.

Beliau mengakui Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah bertemu dengan Pengarah Pilihan Raya Pas Datuk Mustafa Ali dan Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bagi membincangkan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar namun tiada sebarang keputusan dicapai.

Azmin, ujar Mohd Amar mencadangkan Pas memberi laluan kepada parti pembangkang lain untuk bertanding di Sungai Besar.

Cadangan itu, ujar beliau telah dibawa ke peringkat atasan dan keputusannya Pas tidak akan memberi laluan kepada parti pembangkang lain untuk bertanding di dua PRK tersebut.

Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan bercakap kepada pemberita dalam majlis sambutan hari hutan sedunia di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, semalam.

Beliau turut mendesak DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menghormati hak Pas untuk bertanding di kerusi tradisi parti itu.

Walaupun menganggap dua kawasan itu sebagai 'kawasan tradisi', Pas tidak pernah memenangi dua kerusi parlimen tersebut.

Pemangku menteri besar Kelantan itu juga memaklumkan bahawa majlis syura ulamak Pas akan bermesyuarat pada 22 Mei bagi menentukan calon untuk dua PRK itu.

Pas ujarnya telah menyenaraikan tiga nama calon tempatan bagi setiap PRK untuk dipilih majlis syura.

Exco Kerajaan Negeri Selangor (Exco) dari Pas diminta untuk meletakkan jawatan jika parti itu berkeras untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada Pilihan PRK  Sungai Besar pada 18 Jun ini.

Azmin yang juga Menteri Besar Selangor dilaporkan memberi kata dua kepada Pas Selangor supaya memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di kerusi Sungai Besar jika ingin kekal dalam kerajaan negeri.

Kata dua itu diberikan Azmin kepada exco kanan negeri yang juga Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Iskandar Samad dan dua exco Pas, Datuk Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib.

Sumber Pas Selangor bagaimanapun berkata parti itu akan tetap bertanding di dua PRK tersebut setelah diarahkan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu pertemuan di Rusila, Terengganu.

PRK di Sungai Besar dan Kuala Kangsar bakal belangsung pada 18 Jun ini berikutan kematian penyandangnya Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khairil Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu.

Tiada ulasan: