Rabu, 18 Mei 2016

PAS tak boleh menang Sg Besar, Kuala Kangsar tanpa undi bukan Melayu - DAP

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Veteran DAP Lim Kit Siang memberi peringatan kepada PAS, bahawa parti Islam itu tidak akan mampu mengulangi prestasi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ekoran penurunan sokongan oleh pengundi bukan Melayu.
 
Justeru ujar beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Gelang Patah ini, bahawa PAS boleh menang di kedua-dua pilihan raya kecil itu jika pertandingan satu lawan satu dengan Umno adalah tidak tepat.
 
"Ia tidak ditunjukkan oleh statistik pilihan raya. Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tahu hal ini dan itulah sebab kenapa beliau katakan apa jua keputusan nanti, PAS tidak hilang apa-apa dengan bertanding dalam kedua-dua pilihan raya.
 
"Benar calon PAS tewas dengan majoriti kecil 399 undi di Sungai Besar dan 1,082 undi di Kuala Kangsar.
 
"Sungai Besar, yang dimenangi BN dengan 49.6 peratus daripada jumlah keseluruhan undi, adalah antara 16 kerusi paling marginal dimenangi oleh BN pada pilihan raya umum ke-13 dengan kurang 50 peratus keluar mengundi.
 
"Manakala Kuala Kangsar dimenangi dengan 50.4 peratus daripada jumlah undi keseluruhan undi adalah antara 30 kerusi marginal BN yang dimenangi dengan kurang 51 peratus daripada jumlah keseluruhan undi," kata Lim dalam satu kenyataan.
 
Tegas beliau lagi, PAS perlu mengambil kira majoriti tipis yang diperoleh parti itu adalah disebabkan sokongan yang diberikan atas platform Pakatan Rakyat (PRU13) dan bukan sekadar calon-calon mereka.
 
Malah katanya lagi, adalah lebih tepat jika PAS meninjau peluangnya semasa parti itu berdiri sendiri sebagai parti pembangkang semasa 2004 berbanding merujuk kepada angka-angka pada pilihanraya umum ke-13 dan ke-12.
 
"... Pilihanraya umum 2004 mencerminkan kekuatan sebenar PAS di Sungai Besar apabila ia mendapat 7,988 undi berbanding Umno dengan 15,337 undi - kalah dengan majoriti besar 7,349 undi atau PAS mendapat 33.1 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi," jelas Lim, sambil menambah trend yang sama turut berlaku di Kuala Kangsar.
 
Calon PAS di Kuala Kangsar, ujar Lim, menghampiri kejayaan pada pilihan raya umum ke-13 kerana beliau berdiri sebagai calon Pakatan Rakyat - dengan 13,136 undi berbanding Umno dengan 14,218 undi, atau 46.6 peratus daripada jumlah keseluruhan undi dalam pertandingan tiga penjuru itu.
 
Pada pilihan raya umum ke-12, calon PAS turut kalah dengan 1,458 undi apabila beliau mendapat 9,277 undi berbanding calon Umno sebanyak 10,735 undi.
 
 

Tiada ulasan: