Khamis, 19 Mei 2016

PAS senarai pendek enam calon PRK Sg Besar, Kuala Kangsar

FREE MALAYSIA TODAY


Enam calon tersebut, masing-masing tiga nama di setiap Parlimen telah diserahkan kepada Dewan Ulama untuk ditapis sebelum diputuskan PAS Pusat yang dijangka bermesyuarat Ahad ini.


Datuk Mohd Amar Nik Abdullah


TANAH MERAH: PAS menyenarai pendek enam nama untuk bertanding pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keenam-enam calon tersebut, masing-masing tiga nama di setiap Parlimen telah diserahkan kepada Dewan Ulama untuk ditapis sebelum diputuskan PAS Pusat yang dijangka bermesyuarat Ahad ini.

“Setakat ini ada tiga nama untuk Kuala Kangsar dan tiga nama untuk Sungai Besar. Latar belakang calon campur-campur, (tapi) semuanya orang tempatan. Usianya lebih kurang 40 hingga 60 tahun dan masih muda,” katanya selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa kali ke-45 Peringkat Negeri Kelantan 2016 di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud; Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Zahari Ibrahim.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Dalam pada itu, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan meminta parti pembangkang lain tidak meletakkan calon di kedua-dua PRK itu dan memberi laluan kepada PAS untuk bertanding satu lawan satu dengan BN.

“Keputusan kita setakat ini kita akan bertanding untuk kedua-duanya. Sebab asasnya adalah yang pertama kawasan itu merupakan kawasan yang kita memang telah bertanding selama ini dan kita ada akar umbi yang kuat.

“(Selain itu) kita nak minta parti lain menghormati (keputusan PAS) sebab ini kawasan tradisi dan kita ni dalam kerjasama kita dalam parti-parti pembangkang (sebelum) ini kita banyak bertolak ansur…dengan DAP dulu, dengan PKR jadi kita nak minta supaya parti lain pun bertolak ansur dengan kita,” katanya.
– BERNAMA

Tiada ulasan: