Isnin, 16 Mei 2016

Pas pertaruh bekas calon PRU13 di Sungai Besar?

Pas pertaruh bekas calon PRU13 di Sungai Besar?
Mohamed Salleh M Husin (kiri), Muhammad Razali
 
 
SUNGAI BESAR – Pas Kawasan Sungai Besar dijanga mempertaruhkan empat nama kepada Majlis Syura Ulama sebelum mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan seorang calon yang bakal dipilih mewakili parti itu untuk bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar.

Antara nama yang disebut-sebut termasuklah bekas calon pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Mohamed Salleh M Husin yang hanya tewas majoriti 399 undi kepada calon BN, Allahyarhamah, Datuk Noriah Kasnon.

Mohamed Salleh yang disapa ‘Cikgu Salleh’ adalah Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan itu mempunyai pengaruhnya tersendiri, apatah lagi berjaya mengurangkan majoriti undi yang diperoleh Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan komoditi dalam PRU lalu.

Selain Mohamed Salleh, Pas juga bakal meletakkan calon pilihan parti itu iaitu, Yang Dipertua Pas Kawasan Sungai Besar, Mohd Fadzin Taslimin yang memimpin Pas kawasan itu sejak 25 tahun lalu.

Dua lagi calon yang turut disebut-sebut bakal menentang BN dalam PRK Sungai Besar termasuklah Ketua Urusan Ulama Pas Kawasan Sungai Besar, Nazri Sarbini dan Ketua Pemuda Pas Kawasan Sungai Besar, Muhammad Razali Saari.

Bagaimanapun, cakap-cakap politik meramalkan Muhammad Razali yang juga Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dun Sungai Panjang antara nama popular dan sesuai bertanding di kerusi berkenaan.

PRK Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

Turut terkorban dalam insiden itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.


Tiada ulasan: