Khamis, 19 Mei 2016

Parti pembangkang diseru bersatu sokong calon PAS

 
Usaha itu bagi menghantar isyarat jelas kepada UMNO dan BN khususnya Najib bahawa pembangkang sedia melupakan perbezaan demi masa depan rakyat dan negara. 


Tuan-Ibrahim_pas_selangor_perak_undi_600


PETALING JAYA: PAS menyeru semua parti pembangkang supaya bersatu dan menyokong calon parti Islam itu pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar bulan depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha itu sekaligus dapat memberi isyarat jelas kepada UMNO dan BN khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa parti-parti pembangkang sedia melupakan perbezaan demi masa depan rakyat dan negara.

“Jika tidak terpaksalah blok pembangkang bersedia melihat yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang manakala Perdana Menteri Najib terus tersenyum riang,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Jelas Tuan Ibrahim, PAS juga telah membentuk Jawatankuasa Induk dan Operasi PRK bagi kedua-dua kawasan Parlimen itu untuk memastikan UMNO dan BN kalah pada 18 Jun nanti.

“PAS telah pun membentuk Jawatankuasa Induk dan Operasi PRK ini. Sasaran PAS ialah BN, matlamatnya ialah menumbangkan BN bagi menghantar mesej bagi pihak rakyat bahawa BN sudah ditolak rakyat,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang juga Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sebuyau, 5 Mei lalu.

PRK Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan diadakan serentak pada 18 Jun ini, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 5 Jun.

Tiada ulasan: