Selasa, 24 Mei 2016

Nurul 'gembira' media fokus isu dalaman PKR

MALAYSIAKINI



Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar mengelak untuk bercakap berkaitan kedudukan rakan sejawatnya Rafizi Ramli yang kedudukannya sekarang menjadi perhatian umum.

Nurul Izzah hari ini diajukan soalan mengenai mesyuarat biro politik PKR pada malam ini.

Anak sulung Datuk Seri Anwar Ibraim itu berkata, beliau tidak tahu tentang intipati mesyuarat malam ini memandangkan baru pulang daripada acara di luar negara.

"Saya rasa awak boleh tanya pemimpin lain kerana saya baru pulang dari Tunisia.

"Saya rasa anda semua (pemberita) terlalu fokus dan habiskan masa untuk isu ini.

“Terima kasih. Saya sangat 'gembira'," kata anggota parlimen Lembah Pantai itu.

 Mesyurat biro politik PKR malam ini dijangka panas di tengah-tengah kemelut antara pimpinan utama parti itu.

Rafizi malam ini mahu menyerahkan bukti dakwaan habuan wang dan perempuan ketika berurusan dengan kerajaan negeri Selangor kepada Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi dikatakan mahu bertindak demikian walaupun Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang juga menteri besar Selangor dikatakan berpendirian tiada keperluan menyiasat perkara itu.

Dalam masa yang sama timbul desas-desus kedudukan Rafizi sebagai setiausaha agung PKR akan diambil alih oleh anggota parlimen Tumpat dan bekas setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaafar.


Tiada ulasan: