Isnin, 23 Mei 2016

Najib gagal teruskan saman tanpa perbicaraan penuh

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak


KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk penyelesaian saman beliau terhadap Harakah dan Harakahdaily berhubung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya dari segi undang-undang tanpa melalui perbicaraan penuh.

Peguam, Datuk Hafarizam Harun memaklumkan perkara itu kepada media selepas prosiding di dalam kamar Hakim,Datuk Hue Siew Kheng sebentar tadi.

Menurutnya, permohonan yang difailkan anak guamnya ditolak dengan kos RM3,000.

Beliau berkata, alasan permohonan ditolak adalah berdasarkan keputusan terdahulu dalam permohonan interlokutori Najib bahawa kes itu hanya boleh dibicarakan.

Pada 18 Mac 2015, Najib memfailkan saman terhadap Pengarah Urusan Harakah, Dr Rosli Yaakop dan Ketua Editor Harakahdaily, Taufek Yahya kerana menerbitkan artikel yang didakwa memfitnah mengenai 1MDB yang ditulis oleh Rosli pada 19 Februari tahun lepas.

Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata, artikel itu menggambarkan yang beliau telah menyalahgunakan dana 1MDB dan penerbitan artikel itu berniat untuk mencemarkan reputasi beliau.

Beliau juga mendakwa bahawa Taufek telah gagal mengamalkan kewartawanan bertanggungjawab dan tidak mengesahkan sama ada isi kandungan artikel ditulis Rosli adalah betul sebelum menerbitkannya.

Najib berkata, kedua-dua defendan sengaja menerbitkan artikel itu dengan agenda peribadi untuk menjejaskan keyakinan rakyat terhadap beliau.

Peguam Wan Rohimi Wan Daud mewakili Dr Rosli dan Taufek.


Tiada ulasan: