Khamis, 19 Mei 2016

Mungkin ada pihak salah anggap kenyataan Azmin, kata Johari

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi daripada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung dakwaan yang meminta kesemua exco PAS kerajaan negeri meletak jawatan.
Desakan terhadap ketiga-tiga exco parti itu disuarakan kononnya atas kedegilan PAS untuk meletakkan calon di Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar, 18 Jun depan.
Ia berikutan minat PKR untuk turut sama meletakkan calon di kerusi tersebut, meskipun menyedari PAS dan Parti Amanah Negara (PAN) awal-awal lagi bertelagah berhubung isu calon pembangkang.
"Saya juga baca dari media, kena tanya MB sama ada beliau (Azmin) katakannya atau tidak. Sama ada pihak salah anggap kenyataannya, saya tidak pasti. Sama ada ia benar atau tidak, kena tanya beliau," katanya semasa ditemui pemberita di Dewan Rakyat, tengah hari tadi.
Dikhabarkan kesemua exco PAS Selangor dan pemimpin tertinggi PAS juga mengadakan mesyuarat tergempar di Terengganu bersama Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang semalam.
Hadi, bagaimanapun mahu kesemua exco berkenaan kekal dengan jawatan masing-masing dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.
Johari juga memaklumkan Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan mesyuarat pada Isnin ini bagi mencari kata putus berhubung soal peletakkan calon pembangkang di dua PRK serentak itu.
Beliau juga diajukan berkenaan hasrat PKR untuk bertanding di Sungai Besar dan memaklumkan partinya ada berbincang mengenai isu itu. 
"Perbincangan banyak berlaku. Cuma apa yang saya boleh katakan, sama ada MB katakan begitu, kena tanya beliau. 
"Perbincangan itu ada, sebaik sahaja kematian tersebut. Soal apa yang MB kata begitu, kita kena pastikan dengan MB," ujarnya tanpa memperincikan dengan siapakah perbincangan itu diadakan.
Dalam masa yang sama Johari juga mempertahankan pendirian Azmin untuk mengadakan perbincangan bersama PAS bersabit kerusi pilihan raya berkenaan, selepas Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan memberitahu PKR tidak berusaha untuk berbuat demikian.
"Hendak berunding, tapi belum lagi. Mungkin sebentar lagi? Tidak semestinya tidak berlaku. Azmin ada masanya, beliau pun baru balik dari Jepun. Mungkin petang ini, atau malam ini," katanya.

Tiada ulasan: