Jumaat, 13 Mei 2016

Motif Azmin ajak PAS kembali ke pakatan perlu dibedah-siasat

Oleh Abdul Rahman Malik
Post Pic
 
 
[ULASAN] PKR mempelawa PAS supaya kembali bergabung dengan parti itu dan DAP seperti dalam Pakatan Rakyat lalu untuk mengukuhkan lagi harapan menumbangkan Umno-Barisan Nasional dalam pilihanraya umum ke-14 nanti.
 
Bagaimanapun sebaliknya, PAS pula 'berseloroh politik' dan mengundang PKR untuk bersama dalam saf blok politik ketiga yang ditajanya dengan parti IKATAN demi mencapai maksud yang sama.
 
Reaksi PAS segera mengingatkan umum kepada idea mantan menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu DAP menceraikan sahaja PKR dan bergabung tenaga hanya dengan Parti Amanah Negara (PAN) menghadapi pilihan raya umum akan datang.
 
Di atas kertas, kebarangkalian PAS menerima pelawaan yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali, adalah rendah. Ini kerana cara DAP menyerang PAS bersama PAN, adalah amat menyakitkan parti itu. 
 
Jika PAS berbalik kepada Pakatan dengan DAP dan PKR bererti terpaksa menerima PAN yang lahir dari rusuk PAS yang dianggap sudah mengkhianati perjuangan PAS selama ini. 
 
Tambahan pula, persahabatan dan setiakawan di antara PKR dengan DAP kini tidaklah begitu sihat. Lantas untuk PKR menjadi 'orang tengah' memperbaiki hubungan dengan DAP mungkin tidak akan berjalan lancar seperti diharapkan.
 
Jika mengikut penilaian Zaid Ibrahim adalah lebih baik jika DAP menjarakkan diri dari PKR kerana melihat PKR lebih mirip tindakan politiknya dengan PAS. Dalilnya PKR mahu PAS terus bergabung mentadbir kerajaan negeri Selangor. 
 
Selain itu, dari kacamata Zaid, PKR dan PAS memang kurang integriti, tidak menepati janji dan kurang boleh dipercayai. Zaid mengutip rumusan itu berdasarkan hujah-hujah DAP yang kini kurang senang dengan PAS dan PKR.
 
Mahukah DAP setuju cadangan Azmin?
 
Pusar ketidakpuasanhati DAP terhadap PAS ialah presidennya, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang yang didakwanya sering membelakangi keputusan-keputusan majlis presiden Pakatan Rakyat.
 
Sementara paksi kekecewaan DAP terhadap PKR ialah, parti itu juga sudah mula 'tikam belakang' dengan menolak persetujuan awal yang dibuat dengan PKR berhubung pembahagian kerusi yang hendak ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang selesai Sabtu lalu. 
 
Justeru ikut hukum akal, sukarlah bagi DAP untuk menyokong usul Azmin yang mahu PAS berbaik semula dengannya. Apatah lagi jika difikirkan bahawa PKR sendiri tidak boleh dipercayai sangat darjah integriti politiknya. 
 
Yang nyata Azmin membuat syor itu sebelum berunding dengan DAP. Sudah tentu sukar untuk pemimpin-pemimpin DAP menerima syor yang belum tentu dipersetujui oleh Majlis Pimpinan PKR sendiri. 
 
Di peringkat ini, cadangan Azmin itu masih bersifat peribadi. Tambahan pula kecurigaan masih bersalut pada batang tubuh Azmin yang dilihat DAP sebagai punca kekalahan teruk parti itu di PRN Sarawak hujung minggu lalu.
 
PAS pula setakat ini belum mahu mengangkat syor Azmin itu sebagai salah satu agenda perbincangan di peringkat Dewan Harian mahu Dewan Ulamanya. Ini soal prinsip dan bukan sekadar soal menghidupkan semula tahaluf siyasi dengan DAP. 
 
Selain perlu mendapat perakuan Muktamar yang akan datang awal bulan depan, PAS perlu memikirkan semasak-masaknya soal keterlibatan beberapa pemimpin PAN yang menganggap PAS sendiri sebuah parti Islam yang sudah 'lusuh'. 
 
Bagi DAP pula ini bukan kali pertama ia akan bekerjasama dengan parti PAS mahupun parti pimpinan ahli-ahli politik Melayu. Di peringkat ini, ia telah menemui parti Melayu-Islam yang sedia bekerjasama dengannya. 
 
PAN nampaknya bukan sahaja bersedia bertolak ansur dengan DAP malah pucuk pimpinan kedua-dua parti sudah akrab sejak sekian lama seperti iklan-iklan yang cuba mempotretkan betapa rapatnya Lim Guan Eng dengan Mohamad Sabu dalam internet.
 
Justeru itu, adalah lebih wajar bagi Penasihat DAP, Lim Kit Siang memberi peluang kepada Zaid Ibrahim menghuraikan syornya supaya DAP bekerjasama dengan PAN sahaja dan biarkan PKR memilih jalan politiknya sendiri. 
 
Nampaknya DAP mungkin lebih teruja untuk mendengar pandangan Zaid yang pernah bergelar pemimpin dalam Umno dan PKR itu dalam suasana makan malam 'berlauk tiram serta kambing bakar'.
 
Tiba masa 'bedah siasat' punca kalah di PRN
 
Di samping itu, inilah masanya pemimpin dan penyokong PKR membuat bedah-siasat mengapa tiba-tiba parti itu mengalami masalah 'defisit kepercayaan' rakyat (Sarawak sekurang-kurangnya) hingga meretakkan hubungannya dengan DAP.
 
Setiap ahli PKR perlu tahu benarkah presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail memberi mandat bertulis kepada Azmin Ali membuat keputusan meletakkan calon-calon PKR di enam kerusi dewan undangan Sarawak menentang calon DAP.
 
Akibat keputusan yang dikatakan untuk 'menjaga maruah PKR' berhadapan ego DAP itu, PKR membuktikan pengamatan dan analisis politik mereka cetek dan egonya juga terlalu besar hingga mengakibatkan PKR dan DAP, kecundang di keenam-enam kerusi berkenaan.
 
Pimpinan PKR juga perlu berterus terang kepada ahli dan penyokongnya bahawa Kak Wan sebenarnya tidak bermaksud “menjaga maruah PKR di mata DAP” itu meranapkan hubungan baik dengan DAP yang telah dipupuk oleh suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Pimpinan PKR juga harus memperjelaskan adakah mereka bersetuju dengan syor Azmin untuk merapatkan semula hubungan PKR-DAP dan PAS serta PAN atau menganggap ia hanya helah Azmin kerana telah terlalu 'angkuh' dalam memelihara hubungan dengan DAP.  


Tiada ulasan: