Rabu, 25 Mei 2016

Moratorium peralihan MAS kepada MAB dilanjut

MALAYSIAKINI


Pentadbir Malaysian Airline System Bhd (MAS) menerima kelulusan daripada pihak berkepentingannya untuk melanjutkan moratorium semasa berhubung peralihan MAS kepada Malaysia Airlines Bhd (MAB) untuk tempoh 12 bulan lagi sehingga 24 Mei, 2017 bagi menyelesaikan tugas-tugas yang belum dilaksanakan.

Akta Malaysian Airline System Bhd (Pentadbiran) 2015 (Akta MAS) menyediakan peruntukan bagi penubuhan entiti baharu, Malaysia Airlines Bhd (MAB), dengan model perniagaan baharu untuk menggantikan MAS sebagai syarikat penerbangan negara, selain sebagai kaedah yang berkesan, cekap dan lancar bagi peralihan perniagaan, harta, hak, liabiliti dan hal ehwal MAS kepada MAB.

Dalam kenyataan hari ini, Pentadbir Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata memandangkan perbincangan mengenai peralihan adalah kompleks, melibatkan undang-undang dan implikasi cukai merentasi pelbagai bidang kuasa, pihak-pihak berkepentingan meluluskan untuk melanjutkan moratorium semasa.

"Atas sebab-sebab ini dan untuk mencapai hasil yang terbaik mungkin, kami telah mendapat kelulusan untuk melanjutkan moratorium semasa," katanya.

Sementara itu, Mohammad Faiz, yang dilantik sebagai pentadbir pada 25 Mei, 2015, berkata selepas setahun pentadbiran, aset dan liabiliti terpilih yang penting kepada operasi penerbangan MAB telah dipindahkan daripada MAS kepada MAB.

Ini termasuk tanah dan bangunan, kemudahan bengkel, pejabat, stesen, pesawat dan kenderaan, selain kontrak bagi perkhidmatan kejuruteraan, perkhidmatan undang-undang, bekalan bahan api, katering, keselamatan, sistem sokongan dan kemudahan modal kerja.

Beliau turut menekankan keutamaan pentadbiran untuk menjaga kebajikan waris mangsa penerbangan MH370 dan MH17.- Bernama


Tiada ulasan: