Jumaat, 20 Mei 2016

'Minta Perempuan' Tuduhan Jijik, Kempen Fitnah Terancang - Azmin

 
 
 
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
 
 
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dakwaan 'wujud permintaan perempuan apabila berurusan dengan kerajaan negeri' adalah satu tuduhan jijik dan kempen fitnah terancang.

Katanya dalam mewujudkan sebuah kerajaan bersih dan bebas rasuah, pentadbiran negeri mengalu-alukan pemberi maklumat tetapi ia perlu disertakan dengan sekurang-kurangnya 'sekelumit bukti'.

"Sikap kita amat jelas. Pentadbiran ini mengalu-alukan pemberi maklumat yang berhasrat untuk melihat kerajaan yang bersih dan bebas daripada rasuah. Pada masa yang sama, mereka yang membuat tuduhan ini perlu membawa hatta sekelumit bukti sekali pun kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tindakan.

"Menuding jari kepada kerajaan negeri tanpa sebarang bukti sokongan dan kemudiannya menjaja tuduhan tersebut kepada semua pihak adalah satu tindakan bacul, tidak bertanggungjawab dan berniat jahat," katanya dalam satu kenyataan, Jumaat.

Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata orang yang menuduh itu telah mencemarkan nama baik, maruah serta integriti perkhidmatan awam negeri kerana melakukan serangan jahat dan semberono.

Katanya, ia juga menafikan sumbangan majlis eksekutif yang telah menyumbang dengan cekap dan bertukus lumus kepada usaha kerajaan negeri membawakan pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi negeri ini.

"Dasar yang didokong adalah bagi mewujudkan kerajaan yang telus dan bertanggungjawab sepenuhnya tanpa tolak ansur terhadap elemen rasuah.

"Namun pada masa sama, kita semua bertanggungjawab untuk memelihara nama baik dan maruah kakitangan awam serta eksekutif daripada sebarang tuduhan liar yang tidak bertanggungjawab," katanya.

Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli sebelum ini dikatakan membuat dakwaan melalui mesej WhatsApp bahawa PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor telah menggunakan wang dan seks dalam urusan pentadbirannya.

Rafizi berkata ada 'orang bona fide' datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide bahawa selain wang, sekarang ini ada juga permintaan 'perempuan' bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/i tahu apa yang saya maksudkan).

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik. Selama ini tidak pernah sekalipun saya pergi ke SUK sejak sdr. Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” Rafizi didakwa berkata demikian dalam kumpulan perbualan WhatsApp 'Solidarity For Anwar'.
 
 

Tiada ulasan: