Jumaat, 13 Mei 2016

Mahathir terus bertegas Najib terbabit dengan jenayah

ARIF ATAN


Mahathir lwn NajibMahathir lwn Najib


Presiden Umno paling kontroversi setakat ini, Datuk Seri Najib Razak dilihat terpalit dengan banyak kesalahan antaranya menubuhkan syarikat pelaburan sarat hutang, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa melalui kelulusan Kabinet, tegas Tun Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri selama 22 tahun itu juga menyifatkan Najib terlibat dengan banyak kes jenayah termasuk kecurigaan di sebalik derma RM2.6 bilion.

“Dia menubuhkan 1MDB mengikut kemahuan dirinya sendiri. Saya diberitahu Kabinet tidak dimaklumkan sama sekali. Kedua, dia terlibat dengan pelbagai skandal. Dia tiba-tiba mempunyai RM2.6 bilion dalam akaun persendiriannya tanpa diketahui sesiapa termasuk umno.
“Perdana Menteri tidak boleh mempunyai wang sebegitu banyak termasuk derma dari luar negara dengan mempunyai ikatan tertentu,” ujarnya dalam satu temubual yang dimuat naik di laman video, Youtube sejak kelmarin.
Ditanya tentang kemungkinan sistem negara ini yang gagal, Mahathir mengakui kebarangkalian tersebut perlu dikaji dan reformasi bagi memperbaiki banyak kelemahan dalam jabatan-jabatan kerajaan harus dilakukan tetapi perlu didahului dengan usaha menamatkan Najib sebagai Perdana Menteri.

“Undang-undang boleh kita buat tetapi untuk menentukan penglibatan rasuah mana-mana pihak memerlukan bukti-bukti yang jelas. Di zaman saya dulu mereka tidaklah ghairah untuk terlibat dengan rasuah. Pada masa itu, bagi saya rasuah berlaku di bawah meja. Semua orang tahu itu salah dan tidak boleh dibuat.

“(Tetapi) hari ini rasuah sudah menjadi perkara biasa sehingga perdana menteri sendiri menerima wang dan kita tidak tahu apa kesan wang itu,” jelasnya lagi dalam rakaman video hampir 10 minit itu.

Malu ada Najib sebagai Perdana Menteri

Mengulas tekanan antarabangsa yang wujud ekoran kesalahan dan jenayah Najib, beliau berpendapat gejala tersebut memalukan rakyat dan negara ini dan tidak menolak dakwaan pihak luar negara terhadap integriti Najib yang mempunyai asas dan bukti.

“Asas-asas dibuktikan dengan jelas. Kita berasa malu kerana ada kakitan dengan PM. Perdana Menteri boleh ambil tindakan terhadap mereka tetapi tidak walaupun kepada akhbar.

“Ini menunjukkan ada kebenaran di sebalik tuduhan yang dilempar kepada Perdana Menteri, dan ini patut diambil berat oleh rakyat Malaysia. Kita harus malu kerana PM disoal, dituduh dengan tohmahan dan kritikan terhadapnya,” kata Mahathir.

Sehubungan itu, jelasnya, pemisahan kuasa antara bidang eksekutif, legislatif dan kehakiman perlu diamalkan sepanjang masa bagi menghalang kes ditimbulkan Najib dan 1MDB berulang.
“Kita beri terlalu banyak kuasa kepada Perdana Menteri... Kita dapati ramai pihak yang berkhidmat dengan pemerintah tidak sama sekali mempersoal arahan yang diberi kepada mereka dengan sanggup melakukan perkara yang salah atas arahan Perdana Menteri.
“Jika ada bukti (wujud) pengaruh Perdana Menteri ke atas mana-mana salah satu daripada dua bidang kuasa di atas, ini dianggap sebagai satu jenayah,” jelasnya.

Dalam hal berkaitan, menjawab tentang langkah selanjutnya akan dilakukan jika Deklarasi Rakyat menuntut Najib diberhentikan sebagai Perdana Menteri tidak mendapat tindakan sepatutnya daripada Majlis Raja-Raja, beliau berkata, tentu ada kaedah lain untuk menyelamatkan negara.

“Mereka bersama saya sebagai rakyat Malaysia dan mereka tidak boleh bawa perjuangan parti mereka khususnya dalam gerakan kita (Selamatkan Malaysia) ini. Kita semata-mata bertujuan untuk menamatkan Najib sebagai PM kerana ia membinasakan negara kita,” tambah Mahathir lagi.

Tiada ulasan: