Selasa, 31 Mei 2016

Letaklah jawatan, kata Armand pada komponen BN

MALAYSIAKINI


Begitu reaksi exco Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah terhadap ugutan pemimpin parti komponen BN jika Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 diluluskan.

Beliau berkata apa yang berlaku menunjukkan mereka tidak faham isu selain terlupa tanggungjawab untuk “mempertahankan perlembagaan”, lapor Astro Awani.

"Apa masalah presiden beberapa parti komponen BN dengan isu RUU Mahkamah Syariah yang akan dibentangkan di parlimen sehingga mereka mengugut hendak meletakkan jawatan. Kalau hendak letak jawatan, letaklah.

"Mungkin mereka lupa Perlembagaan yang sudah terang termaktub Islam sebagai agama persekutuan.

“Mungkin mereka lupa ketika mereka mengangkat sumpah jawatan sebagai menteri kabinet dan ahli parlimen kepada agong selaku ulul amri atau ketua agama dalam negara untuk mempertahankan perlembagaan.

“Mereka tidak faham apa yang dibicarakan," beliau dipetik sebagai berkata.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Presiden MIC, Datuk Seri S Subramaniam dilapor mengugut meletakkan jawatan daripada kabinet jika RUU itu diluluskan.

Kerajaan minggu lalu mengusulkan supaya RUU yang dikemukakan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dipercepatkan di Dewan Rakyat.

Hadi bagaimanapun mohon penangguhan ke sesi depan atas alasan kesuntukan masa untuk perbahasan.

Undang-udang bagi menambah bidang kuasa mahkamah syariah itu dikhuatiri pengkritik membuka laluan kepada pelaksanaan undang-udang hudud.

Kerajaan menegaskan bahawa RUU itu bukan hudud.


Tiada ulasan: