Sabtu, 21 Mei 2016

Laut yang makin gelora

Azmin Ali
Azmin Ali
 

RABU lalu Pentagon mengeluarkan kenyataan bahawa pesawat peninjau Amerika Syarikat yang melakukan kawalan rutin di ruang udara Laut China Selatan telah dipintas dengan cara tidak selamat oleh dua jet pejuang China.

Seminggu sebelumnya, China mengarau alat elektronik jet pejuang Amerika apabila kapal tentera laut Amerika melalui dekat terumbu yang pemilikannya diperselisihkan.

Tindakan China itu dilihat sebagai memberikan isyarat kepada Presiden Barack Obama yang memulakan lawatan ke Asia hari ini untuk menghadiri sidang kemuncak G7 di Jepun, dan juga membuat lawatan untuk pertama kalinya ke Vietnam.

Sidang kemuncak di Jepun pastinya dilihat sebagai dukungan anggota kumpulan tersebut terhadap Jepun yang mempunyai ketegangan hubungan dengan China akibat perselisihan tentang Senkaku Islands.

Lawatan Obama ke Vietnam juga akan ditafsirkan sebagai usaha Amerika untuk mendukung Vietnam yang kini sekutunya itu sedang berselisih dengan China mengenai kepulauan Spratly.

Meskipun tuan rumah mesyuarat ditetapkan secara giliran, namun dalam suasana geopolitik semasa, G7 semakin dilihat sebagai instrumen perang dingin yang baharu di pihak Amerika. Lebih-lebih lagi, setelah keanggotaan Rusia dari kumpulan yang dulunya dikenali sebagai G8 digantungkan pada tahun 2014 kerana menyebabkan krisis di Ukrain.

Kehadiran Vietnam yang bukan anggota tetapi dijemput khas ke sidang kemuncak berkenaan akan membawa persoalan ketegangan di Laut China Selatan ke dalam mesyuarat kumpulan tersebut. Ini sekali gus sudah pasti akan menarik penglibatan masyarakat antarabangsa ke tengah-tengah gelora dan ketegangan di wilayah laut berkenaan.

Sedangkan Asean yang mempunyai lebih ramai anggota dan mempunyai kepentingan langsung masih belum pula dapat merumuskan pendirian yang sama dalam berdepan dengan sikap dan tindakan China yang agresif membina struktur di atas pulau buatannya.

Tanpa muafakat dan persepaduan Asean, sudah pasti negara-negara yang terlibat akan jatuh terjerat ke dalam strategi China yang mahu dialog dua hala tetapi bukan melalui dialog dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara iaitu Asean.

Ketiadaan perpaduan antara negara-negara Asean telah mendorong Vietnam, yang dahulunya berperang dengan Amerika, dan Filipina yang dahulunya menutup pangkalan tentera Amerika di Subic Bay untuk kembali mengundang penglibatan aktif Amerika dalam krisis Laut China Selatan.

Apa yang dilakukan oleh negara-negara Asean ini sebenarnya bertentangan dengan semangat doktrin Zopfan, iaitu mahu menjadikan rantau ini sebagai zon damai, bebas dan berkecuali. Doktrin yang dicetuskan oleh mantan perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak yang bertujuan mengelakkan rantau ini daripada terjebak dalam konflik antara kuasa-kuasa besar.

Asean secara kolektif memang perlu memikirkan kembali grand strateginya dalam berdepan perang dingin baru akibat daripada kemunculan China yang bakal menjadi kuasa ekonomi terbesar dunia selain begitu rancak meningkatkan kekuatan ketenteraannya. Rusia juga di bawah kepimpinan Vladimir Putin telah menampilkan keyakinan baru dan kembali menunjukkan kuku beruangnya.    

Amerika Syarikat kini memandang serius kebangkitan Asia. Justeru, Obama mengeluarkan doktrin “perimbangan semula” Asia Pasifik agar tidak tertinggal dengan potensi ekonomi di rantau Asia. Tetapi doktrin “perimbangan semula” itu juga melibatkan pengukuhan kekuatan ketenteraan. Akibatnya, kita telah menyaksikan persaingan kekuatan tentera antara kuasa-kuasa besar di rantau ini. Perkaralah inilah yang membimbangkan.

Dalam sejarah dunia, kemunculan satu kuasa baharu dan kemerosotan satu kuasa lama sering menyebabkan perang meletus. Kemunculan China dilihat oleh sebilangan strategis Amerika sebagai satu gugatan kepada kedudukan negara mereka sendiri.

Rantau Asean jangan terseret dalam pertelingkahan antara kuasa-kuasa besar itu. Kita perlu berkawan dengan semua pihak dan tidak mahu bermusuh dengan sesiapa sahaja. Kita mahu pendirian kita dihormati. Oleh itu, doktrin Zopfan perlu diperbaharui semula.

* Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Besar Selangor


Tiada ulasan: