Sabtu, 14 Mei 2016

Laporan tambakan tanah: DAP pertimbang saman The Star

MALAYSIAKINI




Akhbar berbahasa Inggeris, The Star bakal berdepan masalah berhubung satu tulisan berbentuk ulasan berita yang disiarkan mengenai Pakatan Harapan dan lima ahli dewan undangan negeri (ADUN) PKR Pulau Pinang yang mengambil sikap berkecuali dalam usul yang dicadangkan Umno mengenai penambakan tanah.

Disiarkan hari ini, tulisan itu meletakkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam keadaan kebingungan dan memikirkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar tersebut dan penulisnya, K Suthakar yang merupakan pengarah serantau The Star.

“Saya akan meminta pandangan peguam sama ada boleh mengambil tindakan undang-undang. Ulasan tersebut adalah penipuan berniat jahat dan saya akan serahkan kepada peguam untuk menentukan,” jelas Lim pada sidang akhbar di komplek dewan undangan negeri Pulau Pinang.

Dengan tajuk "Daya tahan Pakatan pada usul penambakan laut yang akan dibentangkan di sidang negeri”, artikel itu mendakwa Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, memberi amaran kepada ADUN PKR semasa mesyuarat pra-majlis Pakatan Harapan bahawa partinya akan melakukan seperti 'Cara PAS' jika ADUN PKR masih mengambil pendirian yang sama.

Usul penambakan itu dikemukakan oleh ADUN Pulau Betong, Muhammad Farid untuk kali kedua pada persidangan negeri kali ini.

Usul tersebut meminta kerajaan negeri agar “membatalkan kerja-kerja penambakan (tanah) melibatkan sekitar 4,000 ekar di selatan daerah pulau dan meninjau pembiayaan alternatif untuk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang bernilai RM27 bilion.

Usul yang sama difailkan oleh Farid pada bulan November tahun lalu menggegarkan sidang dewan apabila undian menyaksikan lima ADUN PKR mengambil sikap berkecuali daripada mengundi menentang usul tersebut.

Tiada ulasan: