Rabu, 18 Mei 2016

Laporan Audit 1MDB hanya boleh didedah selepas tidak lagi dibawah OSA

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Laporan audit berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) hanya boleh didedahkan kepada umum selepas Kabinet menetapkan dokumen itu tidak lagi diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), demikian menurut Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Hasan Ariffin.
 
"Ada perbezaannya. Laporan Audit (hari ini) adalah keperluan dalam perlembagaan. Ketua Audit akan laporkannya kepada Parlimen. 
 
"Berbanding laporan audit berkenaan 1MDB, kabinet yang akan putuskan. Kabinet minta Jabatan Audit membuat laporan audit dan dibentang kepada PAC dan berdasarkan kepada laporan audit, kita rumuskan dan bentang kepada Parlimen. 
 
"Soal sama ada bila (tidak tertakluk) OSA, itu terpulang kepada kerajaan untuk tentukan," ujarnya di sidang media Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 Tahun 2015, tengah hari tadi.
 
Sebelum ini Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada sidang Dewan Rakyat yang lalu memberitahu Laporan Ketua Audit Negara berkenaan 1MDB tidak boleh dibahaskan kerana masih diklasifikasi di bawah OSA.
 
Sekiranya ia tetap dibahaskan di Dewan Rakyat, ia mungkin melanggar undang-undang dan boleh dikenakan tindakan.
 
Laporan Akhir PAC mengenai 1MDB itu tidak disenangi oleh pembangkang sebelum ini menyifatkan ia tidak lengkap kerana tidak memuatkan laporan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.
 
Hasan yang mempengerusikan Pembentangan Laporan Ketua Audit Negara Siri 1 Tahun 2015 pada hari ini turut memaklumkan sebanyak tiga agensi dan jabatan kerajaan akan dipanggil untuk prosiding PAC.
 
Ia adalah Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi pengurusan pembinaan dan pembaikan rumah mangsa banjir; Jabatan Air Negeri Sabah bagi Program bekalan Air Luar Bandar di Sabah dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi pelaksanaan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs).
 
Hasan menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit Negara itu sebagai perkara baik yang mana ia dibentangkan lebih awal daripada pembentangan bajet negara.
 
Laporan tersebut menyebut bahawa hasil kerajaan persekutuan pada 2015 berjumlah RM219,088 juta berbanding RM220,625 pada 2014.
 
Manakala perbelanjaan mengurus dan pembangunan pula adalah RM216,997 juta dan RM40,767 juta berbanding RM219,589 juta dan RM39,503 juta pada 2014.
 
 

Tiada ulasan: