Isnin, 30 Mei 2016

Ladang kelapa sawit simpan cecair merkuri akan dibersihkan

FREE MALAYSIA TODAY


Punca penduduk terdedah kepada merkuri disebabkan masyarakat tidak arif dan tidak mengetahui bahaya merkuri yang boleh menjejaskan fungsi otak.


merkuri


TASEK GELUGOR: Kerja-kerja pembersihan akan dijalankan di ladang kelapa sawit Bukit Tok Alang yang dipercayai menjadi tempat penyimpanan cecair merkuri yang mencemari beberapa rumah di kawasan itu, kelmarin.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, M Vijayan berkata, maklumat mengenai lokasi penyimpanan merkuri itu diperolehi berdasarkan keterangan saksi dan pemeriksaan pihaknya di kawasan terbabit.

“Operasi membersihkan enam rumah yang dicemari cecair merkuri telah selesai kira-kira pukul 8 malam (semalam) dan bomba telah berjaya mengenal pasti kawasan penyimpanan bahan kimia itu.

“Kami akan menyambung kerja pembersihan di ladang berkenaan bermula 9 pagi (hari ini). Setakat ini kita belum kenal pasti pemilik bahan kimia itu,” katanya ketika ditemui malam tadi.

Jelasnya, seramai 26 pegawai dan anggota bomba terlibat dalam operasi pembersihan bahan kimia itu semalam yang turut dibantu Pasukan Unit Bahan Berbahaya Bomba (Hazmat) dari Ibu Pejabat JBPM Putrajaya.

Menurut Vijayan, operasi pembersihan nyah cemar yang dilakukan di enam rumah itu melibatkan prosedur dan bahan tertentu bagi memastikan ia selamat dihuni semula.

“Kami telah membersihkan rumah itu dengan menggunakan agen sulfur serta bahan peluntur.

“Selepas selesai kerja pembersihan kita akan serahkan rumah kepada penghuni untuk tindakan seterusnya, tapi ketika ini penghuni rumah masih di hospital kerana dalam pemerhatian Jabatan Kesihatan,” katanya.

Beliau berkata, punca penduduk terdedah kepada merkuri disebabkan masyarakat tidak arif dan tidak mengetahui bahaya merkuri yang boleh menjejaskan fungsi otak.

Dalam kejadian petang kelmarin, seramai 15 penduduk di Jalan Padang Menora, Kampung Baru dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kerana dikhuatiri terdedah kepada cecair merkuri.

Penduduk berkenaan dilaporkan memberitahu bahan itu dibawa balik oleh anak mereka yang menjumpainya tidak jauh dari kawasan rumah mereka.– BERNAMA 


Tiada ulasan: