Ahad, 15 Mei 2016

Kuala Kangsar, Sungai Besar kawasan majoriti Melayu - DAP

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Keputusan DAP untuk tidak meletakkan calonnya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah disebabkan faktor majoriti pengundi Melayu yang tinggi di sana .
 
Menurut Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok, keputusan telah dibuat kepimpinan DAP bahawa kedua-dua kerusi berkenaan diserahkan kepada PKR mahupun Parti Amanah Negara (PAN) mewakili Pakatan Harapan untuk mengemukakan calon.
 
Malah tambah beliau lagi, kerusi berkenaan juga tidak pernah ditandingi oleh DAP sebelum ini.
 
"Lim Guan Eng sudah cakap kita (DAP) takkan letak calon (di Pilihan
Raya Kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar).
 
"Ia dipersetujui dalam Pakatan Harapan, kami tidak akan bertanding sebab itu bukan kawasan yang pernah ditandingi oleh DAP, malah kedua-dua kawasan itu majoriti Melayu jadi lebih baik bagi rakan parti kita untuk bertandinglah," katanya kepada Antarapos.
 
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang memutuskan parti itu tidak akan meletak calon pada PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
 
Menurut Guan Eng, DAP akan menyokong calon dalam kalangan parti dalam PH yang akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Presiden esok.
 
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Hashim Abdullah semalam memutuskan PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan serentak pada 18 Jun.
 
Ia ekoran penyandang kedua-dua kerusi berkenaan iaitu Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei di Sebuyau, Sarawak.
 
Pada PRU13, Mohammad Khair-il memperoleh majoriti 14,218 undi sementara Noriah meperolehi majoriti tipis dengan hanya 399 undi.
 
Kedua-dua kerusi berkenaan sebelum ini ditandingi oleh PAS pada PRU lalu.
 
 

Tiada ulasan: