Selasa, 24 Mei 2016

Kritik Pilihan Raya, ADUN Pembangkang Digantung Kehadiran Sehari

MSTAR ONLINE


 
 
KUANTAN: Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Chow Yu Hui,  dihalau keluar dan digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang selepas enggan menarik balik kritikan yang dibuatnya terhadap pilihan raya umum lepas. 

Yang Dipertua DUN Datuk Seri Ishak Muhamad membuat keputusan itu selepas ADUN DAP itu enggan menarik balik kenyataannya yang mendakwa pilihan raya umum itu tidak adil dan tidak bersih, walaupun beliau diberi peluang tiga kali untuk berbuat demikian. 

Chow mengeluarkan kenyataan itu semasa mencelah penggulungan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepengunaan Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin pada persidangan DUN di Wisma Sri Pahang di sini, dengan membangkitkan mengenai 160 negara mengamalkan sistem Cukai dan Barangan (GST). 

"Semua 160 negara yang mengamalkan GST mengamalkan pilihan raya yang bersih dan adil. Mengapa Malaysia tidak amalkan?" katanya menyebabkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin meminta Chow menarik balik kenyataan itu. 

Chow bagaimanapun enggan menarik balik kenyataannya menyebabkan Datuk Ahmad Shukri Ismail (BN-Pulau Tawar) mengusulkan beliau dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN.

Ahmad Shukri berkata Chow telah menggunakan bahasa yang biadap dan mengeluarkan tuduhan serta bersangka jahat yang bermaksud Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai tidak bersih dalam melaksanakan tugasnya.

"Perkara 36 (4) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat DUN Pahang menyatakan adalah salah bagi sesorang ahli menggunakan bahasa biadap. Perkara 36 (6) pula menyatakan seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan sangkaan jahat ke atas ahli lain," katanya pada Isnin.

Ishak sekali lagi memberi peluang kepada Chow untuk menarik semula kenyataan itu, namun Chow tetap dengan pendiriannya dan berkata: "Jika saya kata tidak betul, kamu boleh betulkan saya. Ini adalah perbahasan."

Chow juga menafikan beliau mengeluarkan kenyataan bersangka jahat pada anggota dewan kerana mendakwa kenyataan itu dibuat secara umum.

Ishak bagaimanapun dengan tegas menyatakan pengamatan dan pemikirannya mendapati kenyataan yang dikeluarkan itu sebagai tidak sesuai, biadap dan salah mengikut peraturan mesyuarat.

"Sebagai seorang yang berhormat, dewan ini harus kita hormati. Seharusnya menggunakan bahasa yang baik dan lembut. Jangan sesekali buat persepsi tanpa fakta yang kukuh. 

"Saya ingin menjaga keamanan dan persefahaman di dalam dewan ini. Oleh itu YB (Yang Berhormat) perlu berpandangan jauh, jangan terbawa-bawa dengan sikap angkuh kerana kita mesti hormat-menghormati, sama ada kerajaan atau pembangkang," katanya.

Ishak berkata seorang pemimpin mesti mengamalkan akhlak yang baik dan banyak lagi perkataan sesuai yang boleh digunakan beliau. Persidangan DUN bersambung pada Selasa.  -Bernama


Tiada ulasan: