Khamis, 19 Mei 2016

Kit Siang: Siasat nahas helikopter sewaktu pilihanraya Sarawak, elak pegawai kerajaan terlibat kempen politik

lim-kit-siang-ag-resign

Roketkini.com


KUALA LUMPUR, : DAP mahu siasatan awam dijalankan terhadap nahas helikopter terhempas yang mengorbankan enam individu, termasuk Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar, sewaktu pilihanraya Sarawak, di Batang Lupar 5 Mei lalu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata satu siasatan penuh wajar dijalankan demi keselamatan penerbangan helikopter.

Beliau memetik kenyataan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Seri Azman Ujang, yang dilaporkan berkata bahawa Malaysia, khususnya Sarawak, tidak mempunyai rekod yang baik berhubung nahas helikopter.

Katanya, Azman menganggarkan dalam tempoh 15 tahun, terdapat 15 tragedi nahas maut helikopter yang meragut 33 nyawa, termasuk golongan VIP yang antaranya adalah Ahli Parlimen Rompin merangkap Menteri tanpa portfolio ketika itu, Tan Sri Jamaludin Jarjis.

Kenyataan itu juga mendedahkan, dalam tempoh dua minggu kempen pilihanraya Sarawak, dianggarkan 80 helikopter telah digunakan dan kebanyakan penyedia perkhidmatan tersebut adalah dari Indonesia dan Filipina.

“Adakah semua jenis helikopter ini sesuai diterbangkan dan adakah juruterbang asing biasa dengan kawasan sekitar dan keadaan cuaca yang tidak menentu di Sarawak?” soal Kit Siang.

Pada masa yang sama, beliau turut membangkitkan persoalan terhadap penglibatan pegawai tinggi kerajaan dalam kempen Barisan Nasional (BN) di Sarawak yang sepatutnya tidak boleh terlibat dalam kempen.

“Mengapa Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, mendiang Datuk Dr Sundaran Annamalai, dilibatkan dalam kempen pilihanraya Sarawak?

“Dan siapa lagi kakitangan awam dari Putrajaya yang dilibatkan dalam kempen pilihanraya BN dalam pilihanraya Sarawak yang lalu?” soalnya lagi.

Justeru, menurut beliau, siasatan awam yang dicadangkannya itu juga perlu menyenaraikan sepenuhnya pegawai awam, termasuk dari Putrajaya, yang terlibat dalam kempen BN sewaktu pilihanraya Sarawak.

Tambahnya, ia amat penting kerana penglibatan mereka dalam kempen plihanraya adalah salah di segi peraturan dan ia tidak patut berulang. – Roketkini.com


Tiada ulasan: