Khamis, 19 Mei 2016

Keuntungan suku pertama Petronas merosot 60 peratus

Astro Awani
 
Keuntungan suku pertama Petronas merosot 60 peratus
Jelas Petronas, kejatuhan ini adalah susulan harga minyak serta jualan produk petroleum yang rendah.
 
 
KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai suku pertama 2016 Petronas dicatatkan lebih rendah kepada RM6.8 bilion bagi suku yang berakhir pada 31 Mac 2016.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, ia adalah 60 peratus lebih rendah berbanding RM17 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama pada 2015.

Katanya, pendapatan dicatatkan kepada RM49 bilion, iaitu penurunan sebanyak 26 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jelasnya lagi, kejatuhan ini adalah susulan harga minyak serta jualan produk petroleum yang rendah.

Ia bagaimanapun diimbangi kos pengeluaran yang rendah dan kadar faedah yang dipengaruhi Ringgit.

Volum pengeluaran untuk Malaysia dan pengeluaran ekuiti bersama Petronas meningkat kepada 2.45 juta tong sehari.

Petronas turut menjangka unjuran akan kekal sederhana dan lebihan bekalan  terus menekan harga minyak mentah.
Petronas menjangka akan menerima kesan harga minyak tidak menentu dan kadar pertukaran.

Syarikat minyak negara itu kekal akan meneruskan rasionalisasi kos untuk kekal kompetitif. 
 
 

Tiada ulasan: