Isnin, 30 Mei 2016

Kes Orang Asli Temiar lawan k'jaan Kelantan didengar

Hari ini menandakan hari pertama pendengaran bagi kes hak tanah Orang Asli Temiar dari Pos Belatim, Kelantan terhadap kerajaan negeri dan Ketua Pengarah Pejabat Tanah dan Galian negeri.

Ini berikutan Mahkamah Rayuan memerintahkan perbicaraan semula kes itu hampir dua tahun lalu.

Pendengaran hari ini menyaksikan dua wakil daripada tujuh buah kampung di Pos Belatim - Angah Along dari Kampung Chermal dan Hassan Alang dari Kampung Belatim - memberi keterangan mereka di hadapan hakim di Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Peguam S Yogeswaran, yang mewakili kaum Temiar berkenaan berkata tiga lagi saksi dari pihak pemohon akan memberikan keterangan mereka pada perbicaraan akan datang pada 15 dan 16 Ogos serta pada 24 dan 25 Ogos.

Tiga saksi daripada kerajaan negeri Kelantan juga dijangka memberikan bukti mereka.

Suku Temiar itu memfailkan permohonan ke mahkamah yang menyatakan bahawa mereka mempunyai hak-hak adat di bawah undang-undang adat.

Ini berikutan Perbadanan Pembangunan Ladang Rakyat Negeri Kelantan menandatangani perjanjian dengan pihak lain untuk membangunkan tanah berkenaan, tetapi mereka tidak gembira kerana projek itu menceroboh ke atas tanah mereka.

Suku Temiar berkenaan berpendapat bahawa tanah mereka tidak boleh diberi tanpa pampasan, jika mereka mempunyai hak-hak tanah adat.

Mereka pertama kali mendapati tanah mereka akan dibangunkan sebagai ladang kelapa sawit lima tahun lalu.

Mereka kemudian memfailkan semakan kehakiman pada tahun yang sama terhadap kerajaan negeri dan pentadbir tanah. Semakan kehakiman telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 2014.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan kemudian mengarahkan perbicaraan semula, memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya untuk membuang kes itu.


Tiada ulasan: