Jumaat, 20 Mei 2016

Kes habuan wang, wanita: Rafizi rujuk Presiden PKR

Rafizi Ramli
Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian oleh SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM


SHAH ALAM - Laporan berhubung tuduhan habuan wang dan permintaan perempuan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor akan diserahkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk tindakan selanjutnya.

Menurut Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, segala maklumat yang ada setakat ini akan diserahkan kepada presiden bagi mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya daripada Ketua Pembangkang itu.

"Perkara ini akan dikendalikan secara dalaman mengikut proses yang ditetapkan oleh perlembangan parti," katanya.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, "tuduhan itu bukan terhadap individu yang menjawat kerusi wakil rakyat 
(baik di Dewan Negeri, Dewan Rakyat atau Dewan Negara sama ada yang masih berkhidmat atau telah bersara) atau mana-mana kakitangan kerajaan di mana-mana jabatan di bawah Kerajaan Selangor."

"Saya kesal bila mana mesej peribadi itu dipersembahkan dalam konteks yang berlainan kepada umum yang boleh mengundang tanggapan buruk terhadap Kerajaan Negeri Selangor," tambahnya lagi.

Menurut Rafizi, beberapa individu memintanya untuk menyiasat dengan lebih lanjut beberapa isu bersabit amanah dan tata kelola secara umum dan beliau telah merujuk perkara itu kepada Timbalan Pengerusi PKR, Zuraida Kamaruddin atau digelar sebagai 'Kak Zu' dalam mesej yang dibocorkan itu.

"Ini adalah perkara biasa yang saya hadapi setiap hari sebagai Pengarah Eksekutif NOW (National Oversight & Whistleblowers), saya menerima beribu maklumat dan aduan setiap tahun yang mendakwa salahlaku dan penyelewengan di pelbagai institusi awam dan swasta.

"Oleh itu, aduan dan tuduhan yang dirujuk di dalam mesej WhatsApp saya akan melalui proses yang sama seperti aduan-aduan lain untuk melepasi keperluan bukti minimum.

"Jika tiada bukti sokongan yang adil, NOW tidak akan memanjangkan perkara ini kerana sumber kita adalah terhad," katanya dalam satu kenyataan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Habuan wang, wanita: Tuduhan jijik dan bacul]

Mengulas lanjut, Naib Presiden PKR itu berkata, tuduhan terhadap kepimpinan parti tidak perlu dipandang enteng bagi menjaga nama baik parti kerana khuatir akan mendedahkan perjuangan kepada anasir yang merosakkan.

"Saya rela terlebih berhati-hati kerana sebagai parti reformasi, PKR mestilah telus dan bersih. Tidak mencukupi bagi pimpinan dan anggota kita tidak terlibat di dalam penyelewengan, kepekaan kita kepada persepsi rakyat mengenai bersihnya kita mestilah mengatasi semua parti lain di negara ini," katanya


Tiada ulasan: