Selasa, 24 Mei 2016

Kes curi telefon di Low Yat: Lelaki kena penjara 4 bulan


Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara empat bulan ke atas seorang penganggur kerana didapati bersalah mencuri telefon bimbit di Plaza Low Yat, di Kuala Lumpur, tahun lalu.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor juga menjatuhkan hukuman denda RM1,000 ke atas Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23.

Dalam menyampaikan keputusannya, hakim itu berkata beliau tidak dapat mengabaikan "cara jenayah itu dilakukan".

"Saya mesti mengambil kira bahawa sepanjang perbicaraan itu, dia turut mengaku bersalah terhadap tuduhan dadah dan kes serangan lain," kata Nur A'minahtul.

Beliau berkata demikian ketika menolak permohonan daripada peguambela Shaharudin Ali, yang mewakili Shahrul Anuar supaya mahkamah memberinya bon berkelakuan baik mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah.

Bagaimanapun, Nur A'minahtul kemudiannya membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara empat bulan tetapi memerintahkan wang denda RM1,000 dibayar serta-merta.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne.

[Baca berita penuh]

Sementara itu Bernama melaporkan majistret Nur'Aminahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrul Anuar Abdul Aziz, 23, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

"Hukuman tidak semestinya menghukum tetapi memulihkan pelaku. Mahkamah tidak boleh menutup mata dan menafikan kes kecurian yang kerapkali berlaku. Mahkamah juga mengambil kira sepanjang tempoh dibicara, tertuduh terlibat dengan kes lain walaupun belum disabit.

"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah (bon berkelakuan baik) tidak sesuai dan tidak wajar diberikan. Dengan ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan dan denda RM1,000 terhadap tertuduh," katanya.

Beliau turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan jika gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda itu.




Mahkamah membenarkan permohonan peguam Shaharudin Ali yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sehingga rayuan terhadap keputusan hari ini dan mengekalkan jaminan RM3,000.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendengar keterangan 10 saksi pendakwaan dan empat saksi pembelaan.

Terdahulu ketika rayuan, Shaharudin memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman mengikut Seksyen 294 Kanun Tatacara Jenayah iaitu hukuman berbentuk bon berkelakuan baik kepada tertuduh.

"Dia mencuri telefon kerana tekanan akibat disamun dan kehilangan telefon bimbitnya pada hari sama kejadian di Low Yat," katanya yang turut memberitahu tertuduh berasal daripada keluarga miskin dengan kedua-dua ibu bapanya merupakan Orang Kurang Upaya pekak dan bisu.

Timbalan Pendakwa Raya S Malini Anne bagaimanapun membantah hukuman bon berkelakuan baik sebaliknya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat berbentuk pemenjaraan kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius selain kes itu telah menimbulkan isu perkauman.

"Saya membantah bon berkelakuan baik kerana kes ini adalah satu kes di mana perbicaraan penuh telah dijalankan dan mahkamah mendapati tertuduh bersalah," katanya.

Shahrul Anuar didakwa mencuri telefon bimbit berharga RM800 di Techasia Boutique, Plaza Low Yat, Bukit Bintang, pada 4.47 petang, 11 Julai tahun lalu, mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Pada 24 Feb 2016, tertuduh sekali lagi dihadapkan ke mahkamah dan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang mekanik menggunakan parang di Jalan Jelatek di Kuala Lumpur pada 20 Feb lepas.

Sebelum ini, dia didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mengambil dadah syabu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Kuala Lumpur.


Tiada ulasan: