Rabu, 25 Mei 2016

Kementerian sasar kurangkan kadar keciciran sekolah pelajar India

Bernama
 
Kementerian sasar kurangkan kadar keciciran sekolah pelajar India
Kementerian akan menjejaki perkembangan setiap pelajar India bagi mengawal kadar keciciran mereka daripada sekolah. - Gambar hiasan
 
 
KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia komited untuk mengekalkan kadar keciciran yang rendah dalam kalangan pelajar India dengan memastikan mereka meneruskan pembelajaran di sekolah.

Dalam hal ini, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P. Kamalanathan berkata kementerian akan menjejaki perkembangan setiap pelajar India.

"Kami mahu beritahu semua pelajar ini bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk mereka maju di negara ini, jadi kami akan mengawal kadar keciciran melalui sistem pemantauan.

"Malah mereka yang keciciran ini, kami mahu mereka mendapat pendidikan semula dengan mengikuti pelbagai latihan vokasional dan mendapat kemahiran yang diperlukan.

"Kami mahu mereka tahu kepentingan mempunyai kemahiran dan pendidikan," katanya kepada Bernama sempena 'Malaysian Indian Education Roadshow' (Minder) di ibu pejabat MIC, semalam.

Mengenai kadar 10.6 peratus pelajar India yang telah mendaftar untuk memasuki pelbagai politeknik tahun lepas, Kamalanathan berkata beliau gembira tetapi percaya lebih banyak usaha yang perlu dilakukan untuk mencapai peratusan yang lebih tinggi.

"Saya gembira, tetapi masih belum berpuas hati. Saya akan lebih gembira jika bilangannya adalah 6,000 pelajar, bukan 2,000 ditempatkan di politeknik," katanya.

Ditanya mengenai reaksi masyarakat India mengenai Minder yang dilancarkan tahun lepas dan berjaya mendekati 15,000 pelajar, beliau berkata tahun ini masih belum menggalakkan.

Bagaimanapun beliau berkata program itu telah mencatatkan kejayaan.

Tiada ulasan: