Khamis, 19 Mei 2016

Kematian Teoh Beng Hock tiada unsur jenayah

 
Jabatan Peguam Negara mengesahkan selepas membuat penelitian dan mengkaji kertas siasatan lanjut dan Laporan Siasatan Khas terhadap kematian mendiang.


nancy-shukri


PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara mengesahkan tiada kesalahan jenayah yang dilakukan mana-mana pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kematian Teoh Beng Hock.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata ia disahkan selepas Jabatan Peguam Negara membuat penelitian dan mengkaji kertas siasatan lanjut dan Laporan Siasatan Khas terhadap kematian mendiang.

“Jabatan Peguam Negara, setelah meneliti dan mengkaji kertas siasatan lanjut dan Laporan Pasukan Siasatan Khas terhadap kematian Teoh Beng Hock, mendapati tiada kesalahan jenayah dilakukan mana-mana pegawai SPRM berhubung kematian mendiang Teoh Beng Hock,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching yang meminta kerajaan menyatakan apakah keputusan peguam negara selepas meneliti kertas siasatan lanjutan oleh pasukan khas PDRM terhadap kematian Beng Hock.

Sebelum ini, Nie Ching menyelar tindakan SPRM yang menaikkan pangkat seorang pegawai yang dikaitkan dalam kes kematian Beng Hock.

Hishamuddin Hashim dinaikkan pangkat sebagai pengarah bahagian risikan SPRM. Beliau sebelum ini bertugas sebagai pengarah SPRM Sabah.

Beng Hock ditemui meninggal dunia pada Julai 2009 selepas jatuh dari tingkat sembilan bangunan SPRM Selangor, tempat mendiang ditahan semalaman untuk soal siasat.

Hishamuddin ketika itu bertugas sebagai pengarah SPRM Selangor.

Namanya bersama dua anggota SPRM lain, disebut dalam Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung kematian Beng Hock.

Tiada ulasan: