Isnin, 23 Mei 2016

[KEMASKINI] PAS takkan berganjak tanding di Sg Besar, tunggu tindakan Azmin pecat Exco - Hadi

Oleh Azizul Osman & Wan Anis Ilyani W. M. Azhar
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS tidak akan berganjak daripada keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sekaligus bersedia dengan sebarang tindakan membabitkan kedudukan tiga Exconya di dalam kerajaan negeri Selangor.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian sebagai mengulas laporan bahawa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi kata dua kepada tiga exco supaya meletakkan jawatan, sekiranya PAS tetap bertegas mahu bertanding di PRK Sungai Besar.
 
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali sebelum ini dipetik sebuah portal, mengesahkan memang Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR memang memberi kata dua kepada tiga wakil rakyatnya. 
 
Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat PAS, Hadi bertegas tidak akan membuat pusingan U daripada ketetapan untuk bertanding di kedua-dua PRK berkenaan. 
 
"PAS tetap akan bertanding, calon akan diumumkan oleh Jawatankuasa pilihan raya PAS akan beritahu," katanya ketika selesai Mesyuarat PAS Pusat di ibu pejabat parti itu semalam.
 
Ditanya samada tindakan nekad PAS untuk meletakkan calon itu akan mengakibatkan hubungan antara parti itu dengan PKR akan retak, Hadi kemudiannya menganggap tahaluf siyasi PAS dan parti itu berjalan seperti biasa.
 
"Masih macam biasa (tahaluf siyasi PAS dengan PKR). Kita akan tetap bertanding (di PRK Sungai Besar)," katanya merujuk kepada hubungan PAS dan PKR di Selangor.
 
Hadi sebelum ini berkata PAS bersedia sebarang kemungkinan termasuk menerima 'kata dua' Azmin Ali di mana kehilangan jawatan tiga exco Selangor jika mengambil pendirian untuk meletakkan calon dalam PRK Sungai Besar.
 
"Kita tunggu dia buat ke tidak? (pecat tiga exco PAS Selangor jika bertanding di Sungai Besar)," soal Hadi.
 
Ditanya lagi samada parti itu akan menerima pemecatan tiga exconya di Selangor, jawab Ahli Parlimen Marang itu PAS akan hanya bertindak sekiranya Azmin benar-benar memecat tiga exconya selepas PRK Sungai Besar.
 
"Nanti kita tunggu tindakan dia," jawab Hadi ringkas.
 
mStar Onlne sebelum ini melaporkan Azmin memberi kata kepada Exco PAS di Selangor supaya meletakkan jawatan jika parti Islam berkeras mahu meletakann calon pada PRK kali ini.
 
Azmin menafikan laporan tersebut. Bagaimanapun, Ketua Penerangan Dewan Ulama, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan sebuah portal, mengesahkan memang Timbalan Presiden PKR itu memberikan kata dua kepada wakil rakyatnya

Tiada ulasan: