Rabu, 25 Mei 2016

[KEMASKINI] PAS nafi rundingan PRK diteruskan dengan PKR

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Aziz menafikan rundingan PKR dan partinya berkenaan peletakan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar masih diteruskan.
 
"Tidak ada, rundingan sudah banyak hari habis. Cuma Pakatan Harapan (PH) tak buat keputusan mereka, itu urusan mereka," katanya kepada pemberita, di Dewan Rakyat, tengah hari tadi.
 
Nik Abduh mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin bahawa rundingan di antara PAS dan PKR berhubung peletakan calon di dua PRK serentak itu masih berlangsung sehingga kini.
 
Rundingan itu dikatakan bagi memastikan wujud pertandingan satu lawan satu di kedua-dua kerusi berkenaan, meskipun Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan untuk turut sama meletak calon.
 
PAS kini bagaimanapun dilihat selangkah ke depan apabila bakal mengumumkan calon untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada Jumaat ini.
 
Sementara itu, PH akan mengadakan Mesyuarat Majlis Presiden pada esok, namun tidak ada jaminan bahawa soal calon dari gagasan itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat tersebut. 
 
Dalam pada itu, Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berpendapat sokongan DAP Selangor terhadap calon PAN di pilihan raya berkenaan memberi kesan tidak baik kepada partinya.
 
"Mereka berhak (sokong) sebab mereka di dalam PH," ujarnya ringkas mengulas kenyataan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua.
 
Dalam kenyataan beberapa hari lalu, Tony turut mendakwa berdasarkan respon penduduk setempat, sokongan PAS di kerusi berkenaan amat tipis memandangkan parti Islam itu menjadi punca terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.
 
Dalam perkembangan berkaitan, Nik Abduh juga berkata partinya tidak gentar dengan pendirian bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang akan menyokong calon PH untuk mengalahkan Umno-Barisan Nasional.
 
"Kita dah buat perkiraan dengan semua kumpulan yang sedang bertelagah dalam politik hari ini. PAS ada strategi tersendiri untuk berhadapan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Kita tahu bahawa kumpulan Mahathir akan menjejaskan Umno," katanya yang yakin pendirian Mahathir itu tidak akan menjejaskan undian kepada PAS

Tiada ulasan: