Jumaat, 13 Mei 2016

Kalau menang Alhamdulillah, kalau kalah cuba lagi'


TMJ
Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
 

MENJELANG aksi final Superbest Power Piala FA 2016 di Stadium Shah Alam pada Sabtu ini, Tunku Mahkota Johor, DYAM Brigadier Jeneral Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkenan diwawancara secara eksklusif oleh Sinar Harian.

Beliau yang juga Penaung Diraja Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) sudi meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk sesi itu.

Ikuti wawancara antara wartawan Sinar Harian, NORSHIKIN MOHD SALLEH dan MOHD FIRDAUS YON bersama beliau di Hotel Thistle Johor Bahru, semalam.
 
Menjelang perlawanan akhir Piala FA 2016, bagaimana Tunku Mahkota Johor melihat persiapan dan prestasi pasukan?
TMJ: Prestasi ada dalam keadaan yang ‘very positive’. ‘Player’ ada dalam keadaan yang positif ‘mentally and physically’. Jadi saya tak nak bagi apa-apa tekanan kepada pasukan JDT. Pada saya, mereka sudah jalankan tanggungjawab dan tugas dengan baik.
Orang kata, ‘energy’ dan suasana dalam kelab ini, ada dalam keadaan yang sangat positif. Saya amat bersyukur.
 
Mungkin di atas kertas JDT sudah menang, bagaimana Tunku Mahkota Johor melihat pasukan lawan?
TMJ: Pada saya tidak kerana apabila final, tiap-tiap final perlawanan adalah 50-50. Tiada ‘underdog’, walaupun ramai kata JDT sudah menang, pada saya tidak.
Pada saya PKNS adalah pasukan yang baik. Kalau pasukan itu tak bagus, dia tiada dalam final.
Dia ada dalam final pasal dia bagus, dan sama juga macam kita. Jadi, saya rasa ia perlawanan yang menarik. Mana-mana pasukan boleh bawa balik Piala FA. Tapi saya bersyukur, sudah ada dalam final pada saya sudah bagi satu pencapaian. Kalau menang Alhamdulillah, kalau kalah kita cuba lagi. Tiada masalah.


 
Sekiranya JDT menang, ia pastinya akan menamatkan kemarau 18 tahun. Bagaimana Tunku 
Mahkota Johor melihat perkara itu?
TMJ: Benda itu amat bermakna bagi saya, kerana ia akan jadi piala keenam dalam masa yang sangat singkat, tetapi apa yang lebih bermakna bagi saya ialah dapat berkongsi pengalaman ini bersama rakyat Johor. Ia lebih bermakna bagi saya daripada sesuatu piala. Untuk berkongsi perjalanan ini, berkongsi pencapaian bersama-sama, itu benda yang sangat bermakna bagi saya.
 
Bangsa Johor bersama Tunku Mahkota Johor, adakah sekiranya menang ada cuti umum?
TMJ: Itu atas ke bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Sultan Johor) dan kerajaan, saya tak tahu. Mungkin ada. Tapi apa yang lebih mustahak adalah saya hendak sambut bersama-sama (rakyat Johor).
 
Pemain berdepan dengan jadual agak padat, bagaimana Tunku Mahkota Johor melihat prestasi dan semangat mereka?
TMJ: Untuk sesuatu pasukan yang ada jadual sangat padat macam JDT, pada saya mereka telah buktikannya, prestasi mereka dalam keadaan yang sangat positif dan baik. Kerana bukan senang, dengan jadual padat untuk jaga prestasi yang sangat konsisten. Saya pernah katakan dulu, konsisten merupakan kunci kepada kejayaan dan apa yang saya nampak, saya bersyukur kerana JDT ada dalam keadaan yang konsisten. Kita boleh tengok dari kita punya ‘track record’. Saya tak payah ceritakan panjang-panjang, itu sahaja telah menceritakan perjalanan kita, prestasi kita, komitmen kita, disiplin kita.
 
Nasihat Tunku Mahkota Johor untuk penyokong JDT yang ke Stadium Shah Alam.
TMJ: Nasihat saya adalah berhati-hati di jalan raya. Itu sahaja. Berkenaan dengan sikap, itu semua saya tak payah nasihat. Pasal orang Johor sudah tahu macam mana hendak jaga sikap dan tatatertib.
Kita boleh tengok stadium saya tiada pagar pun, tak pernah pun ada orang lompat ke dalam, baling barang. Jadi, pada saya soal disiplin itu saya tak payah nak nasihat, mereka sendiri tahu macam mana nak jaga sikap masing-masing sebagai Bangsa Johor.
 
Bagaimana Tunku Mahkota Johor melihat perkembangan bola sepak negeri ini, pada masa kini.
TMJ: Bagi pandangan saya, kalau nak bandingkan dengan di mana kita tiga tahun yang lepas memang jauh. Tapi saya belum berpuas hati lagi. Bagi saya perjalanan kita baru ada dalam 30 peratus sahaja.
Banyak lagi ruang untuk kita baiki, dan banyak lagi ruang untuk kita ‘improve’ dan menuju ke hadapan.
Keutamaan saya adalah pencapaian dalam semua aspek. Semua aspek tak kisah daripada program akar umbi, struktur, kewangan, pemasaran dan infrastruktur... benda ini semua adalah pencapaian.
Bukan semata-mata dapat piala sahaja. Tak guna kalau kita dapat dekat 50 piala, jika kita tempat latihan pun tiada. Latihan dekat kawasan perumahan, latihan dekat padang sekolah. Itu pasal dunia iktiraf JDT sebagai kelab yang paling maju dalam Asia Tenggara. Jadi itu lebih mustahak bagi saya.
 
Menjelang jendela perpindahan pemain, mungkin ada perancangan PBNJ dan Kelab Bolasepak JDT?
TMJ: Itu sudah tentu kerana salah satu polisi saya adalah untuk ‘merembat’ pemain. Jadi memang banyak perancangan.
 
Pemain import di atas padang, perlu ada perubahan?
TMJ: Tak perlu. Saya tak suka merugikan duit kelab. Saya suka perancangan jangka panjang dan konsistensi. Bukan semata-mata untuk dapat piala sahaja. Kalau kita tengok, bandingkan dengan pasukan lawan saya, semua sekali perancangan jangka pendek. Satu tahun...Daripada nak bazir duit beli pemain import, baik selesaikan dahulu hutang. Bila kita nak pakai baju, ukur dulu badan. Jangan jadi macam ‘kudung dapat cincin’. Jadi, kita kena pandai untuk pakai duit dengan betul. Lepas tu, bila tiada duit, kita pula merungut tiada duitlah, tiada penajalah, pasukan miskinlah. Sedangkan kita sendiri tidak menggunakan duit itu dengan saluran yang betul. Jadi JDT, saya tak nak membazir-bazir duit. Saya hanya ‘merembat’ pemain tempatan sahaja.


 
Ada bayangan pemain yang difikirkan?
TMJ: Saya ada tiga atau empat pemain. Pintu saya sentiasa terbuka, ada ramai yang telefon saya.
Siapa tak nak main dengan JDT? Saya rasa semua orang nak main dengan JDT. Kerana di JDT ini, mereka hanya perlu datang kerja. Latihan dan main bola. Dia tak payah risau pasal apa-apa.
 
Pasukan lawan memberi 100 peratus apabila bertemu JDT.
TMJ: Itu betul. Satu negara boleh nampak. Bukan sahaja untuk membuktikan kebolehan mereka.
Tetapi juga untuk memikat saya, dan harap saya jatuh cinta dengan prestasi mereka.
Supaya mereka boleh sarung baju Harimau Selatan.
 
Adakah ia (pikat) berjaya?
TMJ: Kadang-kadang. Tak semua. Pasal saya tak nilai orang dari satu perlawanan.
Saya nilai orang daripada konsistensi. Dari awal musim hingga ke akhir musim.
 
Dari kaca mata Tunku Mahkota Johor, perkembangan bola sepak dari segala aspek.
TMJ: Bagi saya, macam saya katakan tadi, baru 30 peratus sahaja. Saya belum puas lagi. Stadium saya pun belum siap lagi, saya punya akademi pun belum membangun lagi. Baru tengah buat padang dan ‘layout’. Jadi, itu pasal saya cakap baru 30 peratus. Jadi perjalanannya masih jauh lagi. Saya tak suka ada dalam satu keadaan yang cepat rasa selesa. Dan orang-orang yang bekerja dalam JDT pun, semua tak patut rasa selesa. Kita sentiasa kena ‘challenge’ diri kita untuk jalankan tugas dengan lebih baik.
 
Tunku Mahkota Johor menjadi ikutan kepada yang lain.
TMJ: Tapi dia tak nak mengaku. Kenapa dia tak nak mengaku? suruh dia buat pengakuan yang dia ikut saya. Dulu tiada orang nak letak kereta punya ‘seat’ dalam stadium, bila Johor buat semua orang perli.
Lepas itu dia pula ikut. Jadi pada saya, kita kena pandai menilai sendiri dan jaga apa cara kita cakap. Kerana satu hari jangan sampai ludah ke langit, kena muka sendiri. Jadi, apa yang saya buat jadi ikutan, dan benda itu adalah sihat untuk bola sepak Malaysia.
 
Bermakna sesuatu yang sihat itu apa salahnya untuk diikut.
TMJ: Betul.
 
Bagaimana Tunku Mahkota Johor melihat Bangsa Johor untuk menjadi individu yang turut bertransformasi bersama dalam bola sepak.
TMJ: Saya pernah katakan yang saya tak boleh capai benda ini seorang sahaja. Benda ini kerana saya ada satu pasukan ‘management’ yang bagus dalam kelab. Termasuk dengan ‘coaches’, pemain, saya punya ‘director’, saya punya ‘sponsors’ dan penyokong Johor. Oleh kerana kami bersatu sebagai satu keluarga, itu pasal kelab bola sepak kita berada di mana ia berada sekarang.


Tiada ulasan: