Isnin, 30 Mei 2016

'Kalau anti-Islam, MCA tak terima Ridhuan Tee dulu'

MALAYSIAKINI


MCA menerima peletakan jawatan Ridhuan Tee Abdullah tetapi menolak dakwaan mereka anti-Islam atau bersifat melampau.

"MCA tidak pernah dan tidak akan menjadi sebuah parti politik yang melampau.

“Inilah sebabnya apabila Ridhuan Tee mohon jadi anggota MCA 16 tahun lalu, MCA tidak tolak semata-mata kerana beliau beragama Islam.

"Jadi berhentikan menuduh MCA sebagai musuh Islam,” kata Setiausaha Pengelola MCA Datuk Yoo Wei How.

Berhubung enakmen hudud Kelantan pula, katanya, MCA sentiasa menentangnya kerana pendirian bahawa dalam sebuah negara pelbagai kaum, kepelbagaian Malaysia perlu dipertahan.

Katanya, retorik semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah.

Yoo turut mendakwa Ridhuan (gambar) menyampaikan pandangan melampau dalam tulisan-tulisannya.

Yoo juga berkata, keanggotaan Ridhuan dalam MCA menunjukkan beliau tidak menjadi Melayu dan identitinya sebagai orang Cina kekal.

“Sebagai anggota (MCA), beliau terus mendapat kebebasan bersuara dan masyarakat Cina berharap beliau dapat menjadi jambatan kepada Islam, tetapi perkataan dan perbuatannya tidak menunjukkan yang lebih baik daripadanya,” katanya.

 Ridhuan memberitahu Malaysiakini, beliau keluar MCA kerana membantah penentangan berterusan parti itu terhadap hudud dan enggan “menanggung dosa” kerananya.

Ketegangan dalam BN muncul kembali selepas kerajaan mengusulkan untuk mempercepat rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah bagi memberi lebih kuasa padanya.

Ismaweb pula melaporkan bekas anggota MCA seumur hidup itu menyifatkan MCA terlalu perkauman dan “menjadi musuh Islam”.

Tiada ulasan: