Isnin, 23 Mei 2016

Jika tewas lagi 2 PRK, ‘pelamin angan’ pembangkang musnah

 
Cita-cita rakyat Malaysia melihat kesepaduan serta kesepakatan parti pembangkang, umpama 'pungguk rindukan bulan'.
 
 
pakatan-ph


Selepas pembangkang menerima pukulan ‘KO’ daripada BN dalam PRN ke-11 Sarawak pada 7 Mei lalu, kekalutan terus berlaku dalam blok itu untuk menghadapi PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Selepas berjaya menidakkan majoriti dua per tiga BN dan mendabik dada memenangi undi popular pengundi dalam PRU13 tiga tahun lalu, penyokong pembangkang mula sedar tiada cara sebenarnya untuk parti pembangkang bersatu hati membentuk sistem dua parti sebagai kaedah paling ideal menumbangkan BN dan UMNO.

PAS-PKR-DAP-AMANAH tidak mungkin dapat duduk semeja membentuk barisan kerajaan pemerintah menggantikan BN dan segala cita-cita rakyat Malaysia melihat kesepaduan serta kesepakatan antara parti ini, seperti ‘pungguk rindukan bulan’.

Walaupun BN terutamanya UMNO adalah ‘underdog’ dalam PRK Sungai Besar memandangkan penyandangnya, allahyarham Datuk Noriah Kasnon hanya menang majoriti 399 undi, jentera kerajaan Selangor yang ditunjangi PKR dikepalai Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali tetap terpaksa berdepan pelbagai serangan, bukan saja dalam kalangan pembangkang tetapi dalam parti sendiri.

Dengan sikap keras PAS yang tidak mahu berundur memberikan laluan kepada parti pembangkang lain terutama AMANAH, kepada surat terbuka Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi kata dua mengenai Deklarasi Rakyat ditunjangi Tun Dr Mahathir Mohamad hinggalah kebocoran ‘Whatsapps’ Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli mengenai rasuah wanita dan duit dalam kerajaan Selangor.

Semua faktor itu bukanlah ‘winning point’ untuk pembangkang terutama sekali kepada Azmin dalam memenangi PRK Sungai Besar apatah lagi PAS tidak akan berkompromi menyerahkan Sungai Besar serta Kuala Kangsar kepada Pakatan Harapan.

Itulah ujian paling besar yang perlu dihadapi Azmin bagi mengemudi Pakatan Harapan dan PAS bagi mengurangkan bilangan kerusi Parlimen yang dimiliki BN.

PKR sudah pasti tidak boleh mengharapkan DAP untuk turun berkempen jika parti Islam itu bertanding menentang BN daripada UMNO dan tekanan akan wujud dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan supaya blok pembangkang itu turut meletakkan calon.

Pertembungan tiga penjuru di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar seperti sudah mengangkat sebelah tangan tanda kemenangan kepada calon UMNO dan membuatkan Datuk Seri Najib Razak mengukuhkan cengkaman selaku perdana menteri dan presiden UMNO.

Satu-satunya senjata yang dimiliki Azmin ketika ini ialah Mahathir, yang kerjasamanya dengan pembangkang terutama sekali Pakatan Harapan tidak direstui langsung Anwar hingga turut membuatkan PKR terbelah dua.

Malah timbul juga cakap-cakap dalam PKR dan Pakatan Harapan Mahathir adalah ‘trojan horse’ yang dihantar UMNO untuk menjahanamkan pembangkang.

Dalam politik segalanya ada kemungkinan.

Mahathir memberi amaran, mustahil UMNO kalah jika berlaku pertembungan tiga penjuru. Satu lagi amarannya ialah PAS mungkin akan ‘menjual’ maruah diri dengan menarik diri sekiranya, berlaku pertembungan dua penjuru.

Jadi apakah strategi Azmin ketika ini? Inilah dilema yang perlu dihadapi dan dicongak timbalan presiden PKR itu yang menduduki jawatan MB Selangor secara tidak sengaja apabila ‘Langkah Kajang’ diilhamkan Anwar bagi menyingkirkan Tan Sri Khalid Ibrahim menemui kegagalan.

Di pihak BN dan UMNO pula, Najib dan ‘jeneral’ perangnya di Putrajaya dan PWTC sedar dan semakin tersenyum lebar apabila pembangkang kian ketandusan modal dalam ‘membelasah’ mereka.

Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Muhkriz Mahathir kini hanya menghitung hari untuk dipecat daripada UMNO, kedudukan Najib akan bertambah kukuh. Skandal 1MDB atau derma peribadi RM2.6 bilion tidak akan memberikan sebarang kesan besar lagi kepadanya dan UMNO.

Jika ‘status quo’ berjaya dikekalkan dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar pada 18 Mei ini, rakyat Malaysia boleh menjangkakan Najib akan bersedia memanggil PRU14 pada bila-bila masa tahun depan.

Dan ketika itu, BN dan UMNO akan terus kekal membentuk kerajaan dan mengekalkan kedudukan di Putrajaya dan menyaksikan ‘pelamin angan’ pembangkang untuk menjadi kerajaan musnah disebabkan terus gagal membentuk kesepakatan serta kesepaduan antara mereka.

Tiada ulasan: