Jumaat, 13 Mei 2016

Jangan guna Rayani Air raih populariti

 
Ravi berkata, peluang masih terbuka kepada Dr Vida untuk mengambil alih syarikat penerbangan itu atau membeli 51% saham Rayani Air.


Ravi-Alagendrran

PETALING JAYA: Jutawan kosmetik Datuk Seri Dr Hasmiza Othman yang lebih dikenali sebagai Dr Vida dinasihat menubuhkan syarikat penerbangan sendiri, bukannya memperalatkan Rayani Air untuk meraih populariti.

Pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran yang dipetik mStar Online sebaliknya berkata, Dr Vida patut menemuinya sendiri, jika beliau benar-benar serius mahu membeli saham syarikat itu.

Jelasnya, peluang masih terbuka kepada Dr Vida untuk mengambil alih syarikat penerbangan patuh syariah pertama di negara ini atau membeli 51% saham Rayani Air.

“Vida boleh beli saham tetapi jangan kata yang bukan-bukan macam ‘tak mahu cuci pinggan kotor’ selagi belum berjumpa dengan saya. Kalau tak nak beli, boleh cakap baik-baik,” kata Ravi kepada mStar Online.

Beliau berkata, pinggan kotor yang dimaksudkan Dr Vida itu bukannya hutang, sebaliknya adalah kos operasi Rayani Air.

Menurutnya, beliau ada menghubungi Dr Vida Rabu lalu untuk mengetahui jika usahawan itu mahu membeli saham Rayani Air dan Dr Vida menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengannya tidak lama lagi.

Kelmarin, Dr Vida dilaporkan sebagai berkata, tidak berbaloi untuk membeli saham Rayani Air dan pada masa sama beliau perlu melangsaikan hutang syarikat itu.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak pengurusan Rayani Air supaya menyelesaikan masalah hutang terlebih dahulu, sebelum menjual sahamnya kepada pelabur baru.

“Jika saya nak ambil alih, saya kena mula dengan buku baru, maksudnya syarikat tanpa hutang. Saya tak nak cuci pinggan yang dah kotor.

“Tidak berbaloi jika beli saham tapi pada masa sama perlu jelaskan hutang sedia ada,” katanya yang dipetik mStar Online, kelmarin.

Tiada ulasan: