Khamis, 12 Mei 2016

Isu 1MDB: Alasan Najib disifatkan kelakar

MALAYSIAKINI




Alasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa 1MDB gagal ekoran kritik disifatkan sebagai kelakar oleh ahli parlimen DAP, Tony Pua.

Wakil rakyat Petaling Jaya Utara itu berkata sedemikian sebagai mengulas wawancara bersama Najib semalam di kaca televisyen yang antaranya menyebut tentang kegagalan 1MDB kerana serangan ke atas tawaran awam permulaan (IPO) Edra Global Energy.

"Jika kritikan kami terlalu berkuasa, tentu ianya telah menyekat banyak IPO lain dan urusniaga berkaitan, seperti Felda Global Ventures Holdings atau penswastaan lain dan projek penjanaan dana oleh pentadbiran BN," katanya dalam kenyataan, hari ini.

1MDB mungkin merupakan "model perniagaan terburuk dalam dunia" jika faktor kejayaan atau kegagalannya bergantung secara keseluruhan ke atas IPO anak syarikatnya.

"Jika perniagaan 1MDB melingkup sebab IPO gagal, ia mungkin sebab kenapa IPO gagal dari permulaan," tambah Pua.

Menurut Pua, sebab sebenar IPO Edra gagal ialah kerana kerajaan telah terlebih bayar untuk aset tenaga di bawah Edra.

Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), katanya, menunjukkan Edra telah dinilaikan antara RM9.86 bilion dan RM11.3 bilion sahaja, kurang RM12.1 bilion perbelanjaan ke atas aset.

"Justeru, IPO gagal kerana 1MDB tidak dapat mewajarkan penilaian tidak masuk akal dibayar untuk aset tenaganya, namun Najib memilih untuk menyalahkan kritik-kritik 1MDB pula," ujarnya lagi.

Pua juga menyelar tindakan Najib menyalahkan pengkritik, berbanding menyelesaikan kelemahan 1MDB yang dikemukakan dalam laporan PAC, dan juga tidak memaklumkan kepada awam bagaimana beliau merancang untuk menyelamatkan firma itu.


Tiada ulasan: