Ahad, 29 Mei 2016

Individu hina TMJ ditahan di Selangor – ketua polis Johor

FREE MALAYSIA TODAY


Pembantu tukang masak itu memuat naik mesej jelik tersebut dalam Facebook atas nama Aiden Chew.


arrest


JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki di Selangor malam tadi bagi membantu siasatan berhubung kes melakukan penghinaan terhadap Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi Facebook.

Ketua Polis Johor Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata lelaki berumur 23 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu tukang masak ditahan kira-kira 8 malam di Taman Intan, Dengkil.

“Lebih kurang 10.15 pagi semalam, polis menerima satu laporan berhubung penghantaran mesej berbentuk jelik dalam Facebook yang bertujuan menghina dan menyakitkan hati Tunku Mahkota Johor.

“Suspek didapati memuat naik penghantaran mesej tersebut dalam Facebook atas nama Aiden Chew,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata selain menahan, polis turut merampas satu telefon bimbit berserta sim kad daripada lelaki tersebut.

Wan Najmuddin berkata permohonan reman terhadap individu terbabit akan dikemukakan di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia (AKMM) 1998.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalahgunakan laman sosial.

Satu pasukan khas juga ditubuhkan oleh polis Johor untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahgunakan laman sosial, katanya.-BERNAMA


Tiada ulasan: