Rabu, 18 Mei 2016

Individu Cemuh Kerajaan Boleh Dilarang Keluar Negara

MSTAR ONLINE
 
 
 
 
EKSKLUSIF  KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia yang menjejaskan nama baik atau mencemuh kerajaan dalam apa jua cara boleh dilarang keluar negara selama tiga tahun.

Mereka yang mencemuh kerajaan semasa berada di luar negara juga akan dilarang ke luar negara semula selama tiga tahun sebaik sahaja mereka pulang ke tanah air.

Sumber berkata Jabatan Imigresen telah menguatkuasakan peraturan ini sejak beberapa bulan lalu dalam usaha melindungi imej negara.

"Sesiapa yang cuba memburukkan kerajaan dalam apa jua cara tidak akan dibenar ke luar negara.

"Hanya Ketua Pengarah Jabatan Imigresen akan diberi kuasa untuk meneliti rayuan mereka," katanya sambil menambah jabatan itu akan bertindak apabila terdapat permintaan daripada agensi penguatkuasaan seperti polis.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Sakib Kusmi dalam satu emel kepada The Star mengesahkan kewujudan peruntukan tersebut sambil menambah bahawa pemilikan pasport antarabangsa Malaysia adalah satu keistimewaan dan bukan hak.

"Pasport antarabangsa Malaysia adalah dokumen perjalanan yang dikeluarkan kerajaan dibawah naungan Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, kerajaan mempunyai budi bicara untuk mengeluarkan, menangguhkan atau membatalkan dokumen perjalanan," katanya.

Sakib tidak menyertakan statistik jumlah rakyat Malaysia yang dihalang daripada meninggalkan negara atas kesalahan tersebut.

Namun difahamkan mereka yang muflis, mempunyai kes undang-undang atau belum membayar pinjaman kerajaan adalah antara golongan yang dilarang meninggalkan negara.

Ditanya sama ada rakyat Malaysia yang dihalang keluar negara boleh mencabar keputusan itu di mahkamah, Sakib berkata mereka ada hak untuk berbuat demikian.

Beliau berkata kerajaan pada awalnya membuat senarai kesalahan yang boleh menyebabkan rakyat Malaysia dilarang meninggalkan negara buat sementara waktu pada 1995.

Individu yang disabitkan melakukan jenayah di dalam negara atau luar negara, sengaja meroksakkan pasport atau berkunjung ke Israel tanpa kelulusan adalah antara kesalahan yang disenaraikan.

Mereka boleh dihalang daripada berlepas ke luar negara antara dua dan 10 tahun.

Di bawah peraturan baharu, sumber berkata, rakyat Malaysia yang ditahan dan dihantar pulang kerana tinggal lebih masa, melakukan jenayah atau bekerja tanpa permit yang sah di luar negara juga tidak dibenarkan ke luar negara semula selama dua tahun.

"Nama-nama pesalah akan dimasukkan dalam senarai hitam khas," katanya.

Sementara itu, sumber berkata rakyat Malaysia yang cuai dan menghilangkan pasport mereka sebanyak tiga kali dalam tempoh lima tahun tidak dibenarkan membuat pasport baharu sekurang-kurangnya selama dua tahun.

"Kecuaian bermakna kehilangan pasport jika kenderaan anda dicuri atau semasa berpindah rumah," katanya.

Mereka yang pasportnya rosak akibat kecuaian, sebagai contoh meninggalkan dokumen itu di dalam pakaian yang dimasukkan ke dalam mesin basuh juga akan dikenakan tindakan.

"Jika pasport anda rosak sebanyak dua kali, anda akan menerima amaran bertulis.

"Jika ia berlaku kali ketiga dalam tempoh lima tahun, anda juga tidak akan dibenarkan memohon semula pasport selama satu hingga dua tahun," katanya.

Tiada ulasan: