Rabu, 18 Mei 2016

Individu bawa keluar surat Anwar dari penjara boleh dihukum - Nur Jazlan

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Individu yang membawa keluar surat Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara boleh dikenakan hukuman, tegas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
 
Tindakan itu secara jelas melanggar Akta Penjara sekiranya ia tidak mendapat keizinan pengurusan penjara terlebih dahulu, jelas Nur Jazlan.
 
"Itu kesalahan di dalam Akta Penjara, sebab seseorang tidak boleh membawa keluar atau masuk apa-apa yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Penjara.
 
"Kebiasaannya pesalah tidak dibenarkan didatangi pelawat, atau dibolehkan menerusi jadual. 
 
"Tetapi Anwar diberikan pelbagai layanan yang istimewa, termasuk dilawati oleh peguam, mungkin melalui lawatan itulah surat (Anwar) diedarkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Rakyat, pagi tadi.
 
Nur Jazlan berkata demikian mengulas penyebaran surat daripada Anwar yang ditulis dan ditandatangani Ketua Umum PKR itu ketika berada di dalam penjara.
 
Surat yang mengandungi tujuh halaman itu meluahkan rasa kesal Anwar terhadap penglibatan PKR dan beberapa pemimpinnya yang bersekongkol dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad serta pembangkang yang lain untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak menerusi Deklarasi Rakyat.
 
Surat itu dibacakan dalam Mesyuarat Biro Politik PKR, kelmarin.
 
Menerusi surat itu Anwar mendapati penglibatan PKR dalam gerakan itu gagal mencapai hasil yang diharapkan, meskipun beliau pada mulanya menyokong deklarasi itu.
 
Ujar Anwar deklarasi berkenaan tidak melibatkan rakyat secara terus dan tidak membawa suara golongan bawahan yang kini dibelit kesusahan hidup.
 
Malah deklarasi yang ditunjangi bekas majikannya itu hanya fokus untuk menjatuhkan Najib, yang padanya tidak akan mengubah sistem pentadbiran sedia ada. 
 
Anwar juga menulis kekecewaannya bahawa kepimpinan PKR kini begitu rapuh dan beliau kesal pujuk rayunya dari dalam penjara tidak lagi berkesan dalam mengukuhkan PKR seterusnya memantapkan hubungan dalam pakatan pembangkang.

Tiada ulasan: