Khamis, 19 Mei 2016

Indira dibenar cabar status agama anak

 
Panel tiga hakim membenarkan Mahkamah Persekutuan mendengar dan menentukan tiga daripada lapan soalan yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu.


indira


PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan guru tadika beragama Hindu, M Indira Gandhi meneruskan rayuannya untuk mencabar kesahihan sijil penukaran agama tiga anaknya kepada Islam tanpa pengetahuannya pada April 2009.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel tiga hakim memberi kebenaran untuk Mahkamah Persekutuan mendengar dan menentukan tiga daripada lapan soalan yang dikemukakan pada pendengaran rayuan itu.

Dua lagi anggota panel hakim itu ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali.

“Kami benarkan permohonan itu. Ia adalah soalan sama ada mahkamah sivil mempunyai bidang kuasa berhubung pengeluaran sijil-sijil penukaran agama, jika Pendaftar Mualaf boleh mendaftar agama kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah dan sama ada kedua-dua ibu bapa perlu bersetuju sebelum sijil penukaran agama boleh dikeluarkan,” kata Zulkefli.

Indira dan Muhammad Ridhuan Abdullah yang sebelum ini dikenali sebagai K Patmanathan berkahwin lebih 20 tahun lalu mengikut upacara agama Hindu, sebelum bekas suaminya itu memeluk agama Islam, pada 11 Mac 2009.

Pada bulan berikutnya, Muhammad Ridhuan menculik Prasana Diksa yang ketika itu berumur 11 bulan, sebelum menukar agama anak bongsunya itu bersama adik-beradiknya, Tevi Darsiny yang berusia 12 tahun ketika itu dan Karan Dinish yang berumur 11 tahun ketika itu kepada Islam tanpa pengetahuan isterinya.

Pada 29 Oktober tahun sama, Mahkamah Syariah memberi hak penjagaan tiga kanak-kanak itu kepada Muhammad Ridhuan.

Bagaimanapun, pada 11 Mac 2010, Mahkamah Tinggi Ipoh menyerahkan hak penjagaan penuh tiga kanak-kanak itu kepada Indira dan mengarahkan Muhammad Ridhuan menyerahkan Prasana kepada ibunya.

Pada 25 Julai 2013, Mahkamah Tinggi Ipoh memutuskan perakuan memeluk Islam ke atas ketiga-tiga anaknya itu terbatal dan tidak sah kerana tidak mengikut perlembagaan ditetapkan.

Pengislaman itu terbatal mengikut Enakmen Pentadbiran Agama Islam Perak 2004 yang menghendaki anak-anak Indira hadir untuk mengucapkan dua kalimah syahadah sewaktu pendaftaran pengislaman itu dilakukan.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 30 Disember 2015 mengetepikan keputusan itu dengan alasan Mahkamah Tinggi Sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kesahihan penukaran agama kanak-kanak berkenaan yang terletak di bawah bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah.

Pada 29 April lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan Ketua Polis Negara menahan bekas suami Indira, kerana dia didakwa menghina mahkamah dengan tidak memulangkan Prasana yang diculiknya pada Mac 2009.

Tiada ulasan: