Sabtu, 28 Mei 2016

Idris Ahmad: Perjuangan Pas tidak bermusim

Idris Ahmad


SHAH ALAM - Perjuangan Pas tidak hanya bergantung kepada musim pilihan raya sahaja, kata Naib Presiden Pas, Idris Ahmad.

Menurut beliau, Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi tujuan meminda Akta Mahkamah Syariah ( Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan isu bersama dan bukannya hendak dipolitikkan.

“Kenapa mahu dikaitkan dengan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Bukankah sebelum ini sudah dua kali dimasukkan dalam Aturan Mesyuarat Parlimen,”katanya menerusi kemas kini status di Facebook.

Idris berkata, terdapat juga seorang ahli Parlimen yang menulis melalui laman sosial Facebook mengatakan RUU berkenaan tidak akan berjaya namun setelah dapat dibentangkan, pihak berkenaan dilihat mengemas kini status dengan mengatakan Umno dan Pas berpakat menggunakan agama.

Ujar Idris, walaupun RUU Persendirian tersebut mendapat tentangan hebat daripada Ahli Parlimen DAP, namun ia tetap berjaya dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.

“Punya marah sehingga hilang rasional dan profesional. Semoga kita berpolitik untuk mendapat pahala dan jadi bekalan mati,” katanya.


Tiada ulasan: