Jumaat, 27 Mei 2016

Hadi tangguh bentang RUU hudud

Oleh Muhammad Asyraf Azlan
Post Pic


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon menangguhkan usul meminda Akta 355 berkaitan hudud walaupun rang undang-undang persendirian (RUU) itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada sidang Parlimen hari ini.

Hadi memohon RUU itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.

Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang ‘masa’ kepada ahli Parlimen.

"Kita beri peluang masa kepada ahli-ahli dan hari ini hari terakhir parlimen sidang ini," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

RUU bagi meminda kuasa Mahkamah Syariah disenaraikan dalam kertas perintah parlimen sebagai item No 15, iaitu yang terakhir dalam kertas perintah itu dan akan dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang, yang juga Presiden PAS.

Dalam pada itu, Naib Presiden PAS, Dr Idris Ahmad ketika ditemui media di parlimen berkata PAS mahu semua ahli parlimen terlibat di dalam perbahasan RUU ini supaya tiada siapa yang akan mempersoalkannya.

"Kita memberikan satu peluang kepada kita (ahli parlimen) semua, jika ada yang terlepas hari tidak ada yang mengatakan tidak dapat berbahas (RUU persendirian) ini," ujarnya.

Pada 18 Mac tahun lalu, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan sebulat suara meluluskan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau rang undang-undang hudud.

Langkah itu akan membenarkan Hadi mengusulkan RUU pula bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355 bagi membuka laluan perlaksanaan hudud di Kelantan.


Tiada ulasan: