Sabtu, 28 Mei 2016

Exco MCA Kedah keluar parti

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM:  Exco kerajaan Kedah Datuk Dr Leong Yong Kong mengumumkan beliau keluar daripada MCA berkuat kuasa serta merta.
 
Keputusan itu dibuat sehari selepas kerajaan memberi laluan kepada PAS untuk mebentangkan rang undang-undang persendirian bagi menambah kuasa-kuasa Mahkamah Syariah di Parlimen.
 
"Saya mengumumkan berkuatkuasa serta merta, saya keluar daripada MCA sehingga isu ini diperbaiki,” kata beliau pada sidang media di Sungei Petani sebentar tadi.
 
Leong yang juga ADUN Gurun turut mengesahkan keputusan untuk keluar daripada MCA dalam rakaman video yang dimuatkan oleh akhbar Oriental Daily. 
 
Video itu memetik Leong sebagai mempertikiakan tindakan kerajaan memberi laluan kepada PAS mengusulkan rang undang-undang persendirian itu.
 
Jika diluluskan, ia akan membolehkan kerajaan negeri pimpinan PAS di Kelantan menunaikan janji untuk melaksanakan undang-undang hudud di negeri itu.
 
Bagaimanapun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta perbahasan usul itu ditunda ke sesi Dewan Rakyat yang akan datang.
 
Ini bagi memberi masa untuk semua pihak membuat persediaan rapi untuk perbahasan berkenaan.
 
Leong berkata beliau mengambil keputusan keluar daripada MCA namun akan membiarkan pucuk pimpinan Kedah dan parti menentukan kedudukannya sebagai Exco kerajaan negeri.
 
MCA dan beberapa parti komponen Barisan Nasional semalam merakamkan rasa kesal dengan tindakan memberi laluan kepada usul persendirian Hadi itu.
 
Usul itu menuntut pindaan kepada kuasa-kuasa Mahkamah Syariah  untuk membolehkan kerajaan negeri Kelantan melaksanakan hukum hudud.
 
Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya boleh mengenakan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun, denda maxima RM5,000 dan enam sebatan rotan.
 
 

Tiada ulasan: