Sabtu, 28 Mei 2016

Dr Rani disenangi pengundi Sungai Besar, dakwa Zuhdi

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Rekod cemerlang dan perwatakan ADUN Meru Dr Rani Osman yang disenangi pengundi pelbagai peringkat di Sungai Besar menjadikan faktor utama PAS menamakan beliau sebagai calon parti itu pada Pilihanraya Kecil (PRK) 18 Jun depan.
 
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata faktor itu menjadi taruhan kepada PAS dalam mencalonkan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor itu bagi menentang calon Barisan Nasional (BN) Budiman Zohdi.
 
"Pimpinan PAS mempertimbangkan semua faktor termasuk faktor anak tempatan sebelum memutuskan Dr Rani Osman sebagai calon PAS di Sungai Besar. 
 
"Saya melihat PAS menurunkan Dr Rani kerana kad prestasinya sebagai ADUN Meru yang cemerlang disamping perwatakannya yang disenangi oleh semua segmen pengundi di Sungai Besar," katanya menerusi Aplikasi WhatApps.
 
Sebelum ini PAS menerusi Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata parti itu akan mengemukakan calon di kalangan penduduk tempatan bagi kedua-kedua kerusi iaitu Sungai Besar dan Kuala Kangsar. 
 
Namun semalam, Hadi mengejutkan ramai pihak apabila menamakan Dr. Rani Osman sebagai calon yang merupakan orang luar Sungai Besar.
 
Tindakan Hadi itu pantas mendapat respon daripada Parti Amanah Negara (PAN).
 
Parti serpihan PAS itu menyifatkan langkah Hadi sebagai tidak bijak dan hanya memberikan kemenangan mudah kepada Barisan Nasional (BN).
 
Setiausaha PAN, Suhaizan Kayat yang berkata tindakan itu seakan menunjukkan wujud kerjasama tersirat antara PAS dengan Umno.
 
"Strategi BN letak (ADUN Sungai Besar) Budiman Mohd Zuhdi adalah untuk dapatkan sokongan Melayu.
 
"Strategi PAS letakkan Rani untuk tarik sokongan Cina yang tidak diperoleh BN. Bukan untuk memenangkan PAS," ujar Suhaizan menerusi status di Facebooknya.
 
 

Tiada ulasan: